COVID-19 :Premis perniagaan dua daerah di Terengganu beroperasi 7 pagi-6 petang sahaja


shadow

KUALA TERENGGANU – Bermula hari ini, semua premis perniagaan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus hanya dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 6 petang  selaras Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan sehingga 31 Mac.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok  berkata MBKT menetapkan tempoh operasi itu bagi semua pasar raya (bahagian peruncitan sahaja), pasar awam, farmasi, kedai runcit dan kedai serbaneka serta premis perkhidmatan penting negara.

 “Selain itu, restoran, kedai makan, pusat penjaja, medan selera, semua stesen minyak, kedai serbaneka termasuk 7-Eleven juga tertakluk dengan arahan sama termasuk pandu lalu,” katanya.

Beliau berkata pusat pembaikan dan servis kenderaan pula hanya dibenarkan beroperasi dari  9 pagi hingga 2 petang sahaja.

MBKT juga menetapkan semua klinik hanya dibenarkan beroperasi dari  7 pagi hingga  9.30 malam sahaja manakala pasar borong Gong Pauh dibenarkan beroperasi dari 3 pagi hingga 9 pagi, katanya.

“Arahan ini selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 dan tertakluk kepada perubahan arahan terkini dari semasa ke semasa. Kegagalan pematuhan arahan ini adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya.

Sumber- BERNAMA

Tinggalkan komen anda