Maqis berjaya rampas batu kristal seberat 6.83 kilogram


shadow

BUTTERWORTH- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas seketul batu kristal seberat 6.83 kilogram (kg) di Pejabat Pos Malaysia Bhd, Bukit Mertajam di sini awal bulan ini.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas batu itu yang dipercayai dibawa masuk tanpa dokumen sah.

Menurutnya, batu bernilai RM2,840 itu dirampas selepas Maqis dan JKDM membuat pemeriksaan di pusat mel dan kurier pejabat Pos Malaysia tersebut.

“Rampasan dilakukan selepas kita menjalankan pemeriksaan di pusat mel dan kurier Pejabat Pos Malaysia Bhd, Bukit Mertajam. Kita mendapati satu bungkusan milik warga tempatan berisi batu kristal terbabit.

“Siasatan mendapati, batu itu cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah seperti permit import yang dikeluarkan oleh Maqis,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tinggalkan komen anda