Gara-gara tisu tandas


shadow

LOS ANGELES – Seorang lelaki California ditahan kerana menumbuk ibunya selepas berang dengan tindakan wanita itu menyembunyikan tisu tandas.

Difahamkan, ibunya bertindak sedemikian kerana lelaki terbabit terlalu banyak menggunakan tisu tandas sedangkan ia semakin sukar diperoleh berikutan pandemik COVID-19.

Jurucakap Stesen Sherif Santa Clarita Valley, Shirley Miller, berkata polis dipanggil ke rumah lelaki berkenaan di Saugus, utara Los Angeles, sekitar jam 3 pagi Isnin lalu, berikutan pergaduhan berpunca daripada tisu tandas itu.

Pergaduhan antara Adrian Yan, 26, dan ibunya bertambah panas sehingga wanita terbabit ditumbuk di muka dan anaknya ditahan kerana mendatangkan kecederaan.

Wanita terbabit memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau menyembunyikan tisu tandas kerana anaknya terlalu banyak menggunakannya sedangkan ia sukar didapati berikutan penularan coronavirus sekarang.

Miller berkata perintah berkurung menimbulkan banyak masalah di serata AS dan pihak berkuasa menerima semakin banyak laporan kes keganasan dalam kalangan keluarga.

“Suasana tegang sering memuncak apabila keluarga terkurung di rumah dan kes seumpama ini memang dijangkakan,” katanya.

SUMBER – BERITA HARIAN/AFP

Tinggalkan komen anda