Kluster Kayangan masih ‘demand’ layanan VVIP


shadow

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai ragam dan karenah segelinitir rakyat Malaysia yang menyusahkan dan memeningkan petugas barisan hadapan (frontliner).

Mereka ini digelar kluster kayangan oleh frontliner di atas sikap berlagak dan biadap. Kluster tersebut sangat mementingkan diri tanpa mempeduli perasaan orang lain.

Kes terbaharu, seorang doktor berkongsi luahan sahabatnya dalam menguruskan kluster kayangan itu.

Menurut Dr. Ahmad Samhan menerusi laman sosial facebook berkata, kluster ini bersikap tidak sopan dan angkuh malahan berani mengugut apabila tidak memenuhi kemahuan mereka.

“You jangan main-main dengan i. You tak kenal siapa i.

“Oh, you tinggi suara ya? Nama apa? I’ll call my lawyer. Aku nak cakap dengan pengarah hospital sekarang!”, demikian makian dan ugutan individu tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susah menguruskan pesakit yang degil dan ikut kepala sendiri.

“Bukan senang nak uruskan pesakit yang tak faham bahasa. Semua dia nak cepat. Dah terbiasa dengan layanan VVIP. Dari tadi diperhatikan. Mundar mandir seperti cacing kepanasan.

“Suruh duduk dan tunggu giliran tak mahu. Mahu terus dilayan. Padahal ramai lagi orang lain yang datang lebih awal untuk disaring. Suruh jaga jarak, dia siap ajak member lain vaping sekali. Bukan tak tahu,kawasan hospital tak boleh hisap rokok,” katanya.

Jelasnya, apabila dilarang merokok, mereka mengatakan ia ‘vape’.

“Mereka memang kluster dari kayangan. Tak pernah hidup susah. Tak pernah jadi miskin. Itu yang mendongak ke langit. Lupa nak berpijak ke bumi.

“Dah kata jangan keluar negara. Tapi semua penerbangan ke luar negara penuh. Bila pulang bawa virus. Sekarang kerajaan suruh buat saringan dan kuarantin di pusat kuarantin, banyak pula dia mengadu, tandas busuklah, bilik takda penghawa dinginlah, makanan tak sedap lah.

“Susah nak beri kerjasama. Mereka ini tak perlu ramai. Ada dua atau tiga orang yang perangai begini dah pening kepala. Rasa macam uruskan 1000 orang. Hina staff kesihatan macam takda maruah. Nak tunjuk dia ada kabel besar, boleh dapat layanan istimewa. Tolonglah!,” ujarnya.

Tambahnya, lain pula, kluster tabligh yang memberi kerjasama sepenuhnya tanpa rungutan.

“Nak saja beritahu covid, “ Weh, kau jangan masuk badan orang kayangan. Jangan masuk badan siapa-siapa pun. Kalau nak masuk juga, kami rela kau masuk kluster tabligh”

“Tak pening kepala. Kluster paling mudah beri kerjasama. Walaupun ramai, tapi tak susah nak handle. Mereka dengar arahan. Jaga jarak. Sabar tunggu giliran dan tak merungut.

“Ada siap tanya khabar. Tanya doktor dah makan atau belum. Bila kita beri arahan,mereka ikut. Sebab mereka diajar untuk taat.

“Bila di kuarantin, ramai staff kesihatan terkesan melihat mereka. Al quran jadi teman. Solat awal waktu. Tiap kali doktor buat rondaan, mereka doakan. Doktor yang letih pun jadi kuat,” katanya.

Justeru, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bekerjasama bagi memudahkan tugas frontliner.

Tolong janganlah ‘demand’, hargai dan ubahlah. Disaat ini, petugas barisan hadapan berusaha kuat menangani wabak COVID-19 malah layanan dan perkhidmatan diberi lebih baik berbanding negara lain.

Tinggalkan komen anda