Pelajar tingkatan lima antara 54 didakwa langgar PKP hari ini


shadow

Seramai 54 individu termasuk seorang pelajar dan 21 lelaki yang berpesta dan berjudi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di beberapa negeri hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di PAHANG, pelajar tingkatan lima yang ‘menghantar’ pulang mayat kekasihnya selepas terbabit dengan kemalangan motosikal, Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin kerana melanggar PKP pada jam 3 pagi, 12 April lepas.

Dia didakwa bergerak dari rumahnya ke Kilometer 127 Jalan Kuantan-Seremban di sini, iaitu lokasi dia terbabit dengan kemalangan yang menyebabkan kekasihnya yang berumur 17 tahun maut.

 Remaja lelaki itu mengaku bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan RM300 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sementara menunggu sebutan semula kes pada 11 Jun ini.

Di PULAU PINANG,  21 lelaki dihukum penjara dan didenda oleh Mahkamah Majistret George Town kerana ingkar PKP dengan  berpesta dan berjudi.

Kesemua 13 lelaki yang berhibur itu, berusia antara 21 hingga 25 tahun itu dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,000 atau jika gagal membayarnya, penjara sebulan manakala lapan lagi yang bermain judi, berumur 35 hingga 63 tahun dihukum penjara empat hari dan denda RM1,500 atau penjara sebulan.

Mereka masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu di Mansion One, Jalan Pangkor di sini pada jam 12.30 tengah malam, semalam dan  di sebuah blok di Taman Lip Sin, Lebuh Nipah Mukim 13, di sini, pada jam 5.30 petang, 12 April lepas.

Di  KUALA LUMPUR, seramai 28 orang didakwa di tiga mahkamah di sini.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seramai lapan individu, masing-masing dipenjara 15 hari kerana bergerak dari satu kawasan jangkitan ke tempat jangkitan lain dan berhimpun di kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Mereka terpaksa meringkuk di penjara selepas  gagal membayar denda maksimum RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka.

Di mahkamah sama, 15 lagi individu berumur 20 tahun hingga 50 tahun termasuk dua warga asing iaitu Indonesia dan Bangladesh masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara 15 hari atas pertuduhan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Kuala Lumpur, antara jam 9 pagi hingga 9.30 malam, semalam.

Sementara itu, seorang juruaudit didenda RM1,100 atau penjara 20 hari selepas dia mengaku bersalah kerana ingkar PKP dengan bergerak dari satu kawasan jangkitan ke tempat jangkitan lain dan mengeluarkan kata-kata kesat ingin menyaman pegawai polis di sekatan jalan raya di Jalan Ampang, di sini, pada jam 6 petang, semalam.

Bagi pertuduhan ingkar PKP, mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara 15 hari  manakala kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat didenda RM100 atau penjara lima hari.

Di Mahkamah Majistret Selayang, tiga lelaki,  S.Rajendren, 23, dan Irwan Ashraf ,22, masing-masing dihukum penjara 15 hari manakala Mohamad Iqbal Daniel Mohamad Hasrin, 20, didenda RM850 atau penjara sebulan kerana berhimpun di jalan besar KIP Kepong, di sini pada kira-kira  jam 12.30 tengah malam, Selasa lalu.

Mahkamah memerintahkan Rajendren dan Irwan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada hari berkenaan kerana tidak mampu membayar denda RM850.

Di Mahkamah Ampang,  tukang masak Norkamarulhafizudin Kamaruzaman, 29, didenda berjumlah RM3,700 atau penjara tujuh bulan kerana  bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di tempat letak motosikal Blok 3, Pandan Mewah, Ampang, di sini pada jam 1.45 pagi, Selasa lalu. Dia didenda RM700 atau penjara satu bulan kerana melanggar PKP, manakala denda RM3,000 atau  penjara enam bulan bagi kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Di SELANGOR,  empat lelaki, Alias Ibrahim, 53; Mohd Shahrizan Ma’il, 34; Abdul Amin Ahmad, 36; Shahrul Amir Dzulkefri, 27, dan  tiga wanita warga Indonesia, Irudri Puspita Sari, 30; Ani Sumarni, 35 dan Rahmatilawati, 32, didenda RM1,000 atau penjara dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, kerana berkumpul untuk bermain judi haram dalam talian.

Merreka didakwa gagal mematuhi PKP dengan berhimpun di premis di  Pangsapuri Vista, Jalan PJU 10/3, Damansara Damai, di sini, pada jam 8.50 malam, 3 April lalu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda