Jual arak terbuka antara faktor kemalangan pemandu mabuk


shadow

Penjualan minuman keras secara terbuka turut memberi kesan kepada berlakunya kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata faktor itu juga harus diberi perhatian semua pihak bagi mengekang kejadian membabitkan pemandu dipengaruhi alkohol itu.

“Di negara kita, minuman keras boleh dibeli 24 jam seperti di kedai serbaneka. Tidak semestinya arak diminum di pusat hiburan atau kelab malam tetapi mungkin di tempat riadah pada waktu malam.

“Ini kerana mudahnya mendapat bekalan dan mereka boleh minum di mana-mana tanpa ada sekatan,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, ada pengusaha pusat hiburan dikesan membuat hebahan mengenai sekatan jalan raya atau operasi dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak pelanggan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyukarkan PDRM melaksanakan penguatkuasaan dan mengekang perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had serta dadah.

“Sepatutnya pihak pengusaha memberi nasihat kepada pelanggan yang minum melebihi had jangan memandu tetapi menggunakan pengangkutan awam seperti teksi atau e-hailing selain meminta bantuan rakan yang tidak dipengaruhi alkohol untuk menghantar pulang.

“Dari segi pengetahuan, saya percaya rata-rata rakyat Malaysia tahu mengenai undang-undang sekiranya memandu di bawah pengaruh alkohol kerana ia bukan saja diamalkan di negara kita tetapi juga lain-lain negara,” katanya.

Justeru katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan isu pemandu dipengaruhi alkohol bagi memastikan keselamatan jalan raya dan keselamatan awam terjamin.

Tinggalkan komen anda