PKPB: 58 lorong tikus penyeludupan diawasi


shadow

Sebanyak 58 lorong tikus dan lokasi panas penyeludupan menerusi pangkalan haram bermula daripada Kuala Takbai di sini sehingga Kubang Pak Itam, Pasir Mas.

Laluan tikus itu dipercayai digunakan penyeludup atau pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk merentas sempadan dan menceroboh masuk ke negara ini sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad, berkata sejak PKP dilaksanakan sebelum diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti rentas sempadan itu dapat dikekang.

“Namun, anggota kami tetap menjalankan rondaan dan pemantauan sepanjang masa terhadap laluan tikus dan lokasi panas itu kerana dikhuatiri berlaku aktiviti rentas sempadan.

“Setakat ini tiada sebarang aktiviti rentas sempadan berlaku sebaliknya terdapat beberapa cubaan menyeludup dikesan namun dengan risikan yang dibuat anggota kami, kegiatan itu berjaya digagalkan,” katanya kepada pemberita di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, di sini petang semalam.

Mohd Rudzuan berkata, dalam penugasan sempena Op Benteng, dua pasukan pemantauan ditubuhkan di bawah PPM membabitkan 25 anggota dan dua pegawai dengan penambahan dua buah bot ronda.

Katanya, ia membabitkan dua kawasan tanggungjawab iaitu perairan Sungai Golok ke Kuala Besar (Kota Bharu) dan Kuala Besar ke Tok Bali (Pasir Puteh).

“Tujuannya adalah untuk mengekang kemasukan PATI dari negara jiran bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

“Penugasan dilakukan 24 jam dengan empat hingga lima anggota bertugas dalam satu-satu masa membabitkan daratan, pesisir sungai dan pantai serta perairan Sungai Golok,” katanya selepas melakukan tinjauan sempena Op Benteng di Sungai Golok, di sini.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik dari pihak berkuasa dari negara jiran terutama Polis Diraja Thailand yang sering mengadakan pertukaran maklumat.

Katanya, rondaan bersama kerap dibuat bagi menjaga sempadan perairan kedua negara dari diceroboh PATI sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Seperti kita, pihak berkuasa Thailand juga tegas dalam penugasan dan memperketatkan kawalan sepanjang Sungai Golok. Malah kami sentiasa bertukar maklumat bagi melancarkan skop tugasan,” katanya.

Tinggalkan komen anda