Hari penentuan kes bunuh Kevin Morais


shadow

 Petang ini, Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan sama ada enam tertuduh dalam kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, didapati bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan.

Mereka adalah pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 57, selaku tertuduh pertama; pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 49, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27, M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27.

Semua tertuduh didakwa membunuh Kevin ketika bekas Timbalan Pendakwa Raya itu dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah selesai mendengar hujah peguam Datuk N Sivananthan dan Datuk Sheelan Arjunan yang mewakili semua tertuduh dan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin serta Wan Shaharuddin Wan Ladin pada akhir kes pembelaan.

Semua tertuduh diarah membela diri pada 20 November 2017, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 6 April 2016, pihak pendakwaan mengemukakan 70 saksi, manakala pembelaan memanggil 14 saksi bagi memberi keterangan.

Pada 28 September 2015, tujuh tertuduh termasuk Kunaseegaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevis Morais.

Bagaimanapun, tertuduh kedua, G Gunasekaran, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh mendiang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.

Gunasekaran dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika perbicaraan kes bunuh itu masuk hari ke-36, pada 20 Disember 2016.

Gunasekaran kemudian dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-54 pendakwaan pada perbicaraan hari ke-39 kes pembunuhan itu.

Sepanjang perbicaraan kes, seorang tukang jahit yang menjadi saksi ke-37 pendakwaan dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah memberi keterangan palsu di mahkamah ketika menjadi saksi di hadapan Azman, jam 11 pagi, pada 27 September 2016.

Keterangan palsu yang diberikan atau direka itu membabitkan penjagaan dan kawalan kereta Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar belakang kenderaan mangsa pada hari kehilangannya, dan tempoh dia mengenali seorang lelaki bernama Selvam yang pernah meminjamkan wang sebanyak RM4,000.

Kereta Mitsubishi Triton yang dipercayai digunakan untuk melanggar belakang kenderaan mangsa.
Kereta Mitsubishi Triton yang dipercayai digunakan untuk melanggar belakang kenderaan mangsa.

Pada 18 November 2016, mahkamah meninjau sebuah paya di USJ 1, Persiaran Subang Mewah Subang Jaya, tempat tong dram berisi mayat mangsa ditemui pada 16 September 2015.

Dua hari sebelum itu, Azman bersama pasukan pendakwaan dan pembelaan serta semua tertuduh meninjau tiga lokasi di Hutan Melintang, Perak, yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu.

Tiga lokasi itu ialah tempat penyimpanan barang kes di Balai Polis Hutan Melintang yang menyimpan rangka kereta terbakar milik mangsa, lokasi kereta itu ditemui di ladang sawit Sungai Samak dan lokasi mesin pencanai, jam tangan, beg, duit serta cincin milik mangsa ditemui di sebuah sungai di Kuala Selangor, Selangor.

Rangka kereta terbakar yang ditemui di ladang sawit Sungai Samak.
Rangka kereta terbakar yang ditemui di ladang sawit Sungai Samak.

Pada 17 April 2018, mahkamah turut meninjau kediaman mangsa di Kondominium Menara Duta, Jalan Dutamas Raya, di sini, tempat beliau dilaporkan diculik pada 4 September 2015.

Mereka meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kondominium yang juga lokasi pertama tinjauan itu, yang mana dalam keterangan sebelum ini menunjukkan Kevin Morais dilihat keluar dari kediaman itu dengan memandu kereta Proton Perdana kira-kira jam 7.30 pagi, 4 September 2015.

Mayat Morais ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit.
Mayat Morais ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit.

KRONOLOGI KEHILANGAN KEVIN MORAIS

4 September 2015

Morais dilaporkan keluar dari rumahnya di Kondominium Menara Duta (1), Jalan Dutamas kira-kira jam 9 pagi untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Pada jam 10.30 pagi dan 3 petang, rakan serumah Morais dikenali sebagai Davveen cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal. Davveen menghubungi setiausaha Morais dan dimaklumkan Morais tidak hadir ke pejabat.

5 September:

Petugas Balai Polis Hutan Melintang menerima laporan penemuan sebuah kereta hangus terbakar di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak. Nombor enjin dan casis kenderaan dipercayai jenis Proton Perdana versi Honda Accord itu didapati dirosakkan. Kenderaan sama jenis dengan kereta dipandu Morais pada hari dia dilaporkan hilang.

Davveen memaklumkan kehilangan Morais kepada abangnya, Datuk Richard Dilaan Morais, dan laporan dibuat di Balai Polis Jinjang pada jam 5.04 petang.

6 September:

Polis meminta bantuan Jabatan Kimia, PROTON dan Spanco Sdn Bhd untuk mengenal pasti kenderaan yang ditemui terbakar, sama ada ia milik Morais atau sebaliknya.

Polis mengklasifikasikan kes kehilangan Morais sebagai orang hilang (OH). Polis menubuhkan satu pasukan khas siasatan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad.

9 September:

Polis mengesahkan Morais dilarikan orang berdasarkan pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan yang disyaki digunakan Morais.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

14 September

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Morais dilarikan lima lelaki di Jalan Telawi, Bangsar berdasarkan rakaman CCTV diperoleh polis. Visual menunjukkan kereta Morais dihalang sebuah kenderaan lain sebelum berhenti di tepi jalan. Timbalan Pendakwa Raya itu dilihat ditarik masuk ke kereta suspek manakala keretanya turut dilarikan oleh suspek.

16 September

6 pagi: Sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) memeriksa satu lokasi di Taman Subang Mewah, USJ1 dan menemui sebuah tong dalam semak.

8.45 pagi: Sepasukan anggota bomba dengan satu jentera tiba di lokasi kejadian.

9.15 pagi: Petugas media dan orang awam mula memenuhi kawasan kejadian.

10.10 pagi: Polis sahkan mayat Morais ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit.

Tinggalkan komen anda