Penyeludup ketum rempuh kenderaan polis pengiring menteri


shadow

Polis menahan seorang penyeludup daun ketum selepas dia merempuh kenderaan polis yang mengiringi Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri di Felda Mata Ayer pada tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Saifudin Aslin Abbas berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suspek melanggar dua motosikal polis trafik dan merempuh sebuah kenderaan peronda (MPV) polis yang membuat iringan keselamatan.

“Bagaimanapun rombongan menteri selamat dalam kejadian itu, manakala pemandu kenderaan peronda polis yang dirempuh mengalami kecederaan pada tangan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar hari ini.

Saifudin berkata berdasarkan siasatan awal, polis menahan suspek berusia 43 tahun yang juga merupakan penduduk Felda Mata Ayer.

Polis juga, katanya, merampas 19 guni putih berisi daun ketum dianggarkan seberat 570 kilogram dan 0.8 gram dadah disyaki jenis metaphetamine.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cubaan membunuh, menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu, di samping Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana menyeludup daun ketum.

– Bernama

Tinggalkan komen anda