Wanita 102 tahun ditemukan mati lemas


shadow

Kehilangan seorang wanita warga emas berusia 102 tahun dari rumahnya di perkampungan atas air Kampung Tanjung Batu Keramat, awal pagi tadi terjawab selepas mayatnya ditemukan terapung tidak jauh dari rumahnya pagi tadi.

Mayat Marwiyah Sakke ditemukan penduduk kampung pada jam 6 pagi tadi selepas disedari hilang oleh ahli keluarganya empat jam sebelum itu.

Cucu mangsa, Sakinah Samsudin, 36, berkata ahli keluarganya menyedari nenek mereka hilang pada jam 2 pagi selepas mendapati dia tiada di biliknya.

“Usaha mencari diteruskan oleh ahli keluarga di sekitar kampung sebelum menjumpai selipar dan kain batik milik nenek berhampiran perahu di bawah rumah ketika air laut surut.

“Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan oleh penduduk kampung penemuan mayat nenek kira-kira satu kilometer dari kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau.

Menurut Sakinah, meskipun neneknya berumur lebih 100 tahun tetapi dia masih sihat, namun sedikit nyanyuk dan sering merayau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

-Bernama

Tinggalkan komen anda