4 penguat kuasa MBSA, penjual rokok seludup direman seminggu


shadow

EMPAT penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang individu dipercayai penjual rokok seludup ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Ogos.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan perintah reman itu yang dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya jam 9.20 pagi ini.

Mereka yang ditahan reman bermula pagi ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mereka berusia antara 41 hingga 45 sebelum itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya 8.40 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM dan bergari.

Harian Metro semalam melaporkan perniagaan haram dan tanpa lesen berleluasa di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh dikatakan berpunca daripada pembayaran wang sogokan bulanan di antara RM300 hingga RM3,500 bagi setiap premis kepada anggota penguat kuasa yang mengawasi kawasan itu.

Pembayaran itu dipercayai bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.

Antara premis yang membayar sogokan itu termasuk kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan dan premis perjudian.

Sumber berkata, maklumat sogokan itu dikesan penyiasat SPRM selepas menahan penahanan pegawai penguat kuasa MBSA berusia 41 hingga 45 tahun.

Tiga daripada penguat kuasa yang ditahan bertugas di MBSA Cawangan Sungai Buloh, manakala seorang lagi dari MBSA Shah Alam.

Seorang peniaga rokok seludup keturunan Acheh yang tidak mempunyai sebarang dokumen turut ditahan.

Tinggalkan komen anda