Polis tahan lelaki belasah isteri


shadow

Polis menahan seorang lelaki, selepas isterinya mengadu ditumbuk beberapa kali di kepala serta badan, malah dicekik dan dipijak perut semasa bergaduh di rumah mereka Taman Mesra, Mak Mandin dekat Kepala Batas dua hari lepas.

Pergaduhan pada kira-kira pukul 8.00 malam itu dikatakan berlaku selepas wanita berusia 38 tahun itu menegur suaminya kerana sering membawa anak perempuan mereka berumur enam tahun semasa lelaki itu keluar minum minuman keras.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah di Mak Mandin selepas polis menerima laporan daripada wanita berkenaan.

“Ketika pergaduhan, anak perempuan mereka berusia 13 tahun cuba membantu ibunya, namun dia juga ditampar bapanya, sebelum adik perempuannya keluar dari rumah dan meminta tolong dari jiran,” katanya di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata pergaduhan pasangan yang telah 13 tahun berkahwin itu dileraikan oleh jiran mereka, dan wanita itu kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Noorzainy berkata lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana memukul menggunakan tangan, kaki serta mengugut.

Sementara itu di Johor Bahru, polis menahan tiga lelaki dipercayai aktif menjalankan kegiatan memecah cermin kereta dan mencuri di sekitar daerah Johor Bharu Selatan, dalam operasi antara 16 dan 18 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata dua lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia antara 32 hingga 42 tahun yang dipercayai dari dua kumpulan berbeza itu dipercayai terlibat dalam 10 kes berkenaan.

“Dua daripada tiga suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah. Pihak kami masih menyiasat sama ada terdapat saki baki kumpulan ini yang masih beroperasi,” kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata dua warga tempatan berkenaan direman selama tiga hari manakala suspek warga Indonesia itu direman 14 hari, dan menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi terus Hot line IPD Johor Bahru Selatan dengan menelefon 07-2182323 bagi membantu siasatan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda