SPRM beku 750 akaun babitkan RM75 juta


shadow

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 750 akaun membabitkan nilai RM75 juta milik sindiket Macau Scam dan perjudian yang menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Menurut sumber, selain itu rumah dan kereta mewah milik lapan individu yang ditahan sebelum ini turut disita bagi membantu siasatan.

“Sebanyak 24 kereta mewah di mana lima milik lelaki bergelar Datuk yang dipercayai dalang sindiket ini turut disita SPRM.

“750 akaun milik ahli perniagaan yang terbabit dalam sindiket terbabit termasuk akaun selebriti disita susulan siasatan SPRM akaun itu terbabit dalam pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.

Susulan itu tiga lagi lelaki ditahan kemudian bagi membantu siasatan.-HMtero

Tinggalkan komen anda