Cubaan kaburi mata polis edar dadah guna beg Foodpanda gagal


shadow

Cubaan dua lelaki membawa dadah menggunakan beg penghantar makanan gagal selepas mereka ditahan polis di sekitar kawasan Jinjang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, tangkapan itu dibuat semasa rondaan yang dibuat polis dari Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di Lebuhraya Lingkaran 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves menemui sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki pada jam 9.30 malam dalam keadaan mencurigakan.

“Polis  telah mengejar suspek sehingga motorsikal yang dinaiki kedua-dua suspek melanggar sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg penghantar makanan berwarna pink  telah menemui empat bungkusan warna hijau disyaki Mitragynine (AB : 3.79 ),” katanya menerusi kenyataan.

Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kemudian mengaku meminjam beg belakang Foodpanda daripada seorang rakan untuk mengaburi mata polis.

“Kedua-dua suspek saling mengenali selama empat tahun. Tujuan saspek menggunakan beg Foodpanda adalah untuk mengelak dan mengaburi polis yang membuat sekatan jalan raya,” katanya lagi.

Shanmugamoorthy menegaskan modus operandi  mengedar , membawa dan mengirim dadah dengan menggunakan Foodpanda dan Grab Food telah dikesan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di  peringkat awal oleh pihak polis.

Begitu juga modus operandi mengedar dadah menggunakan kereta mewah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan penjenayah seperti ini tidak akan terlepas. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda