Janda antara empat suspek ditahan kes anggota polis maut kejar penjenayah


shadow

Seorang janda merupakan antara empat suspek yang ditangkap polis Johor dalam siasatan kes kemalangan yang melibatkan kereta peronda Polis (MPV) terbalik ketika mengejar penjenayah di Johor Bahru semalam mengakibatkan seorang anggotanya terkorban.

Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 27 tahun itu ditangkap dalam tiga serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayayh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru antara jam 2 petang hingga 9 malam di Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita berusia 27 tahun itu berstatus janda anak dua yang bekerja sebagai pekerja kilang merupakan suspek pertama ditahan.

“Kemudian berjaya membawa polis kepada tangkapan dua lagi suspek lelaki, masing-masing berumur 24 tahun manakala tangkapan keempat adalah juga lelaki berusia 25 tahun yang me,andu kereta (Myvi) ketika kejadian,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Menurut Ayob Khan, berdasarkan soal siasat ke atas wanita itu pihaknya mendapati tiga hari sebelum kejadian suspek mendakwa mereka mengambil methaphetamine (syabu).

“Kereta (Myvi) itu disewa oleh janda berkenaan sebelum meminjamkan kepada dua lelaki berkenaan iaitu salah seorang merupakan teman lelakinya.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui dua botol (yang digunakan untuk) menghisap ais dalam kenderaan Myvi tersebut selain ujian awal air kencing (mendapati) kesemua suspek dikesan positif methaphetamine.

“Manakala dua dripada suspek berkenaan mempunyain rekod jenayah lampau bersangkut kesalahan dadah,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 5 November ini dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyem 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya yang memandu MPV itu, Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, parah.

Mohd Fadhirul yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail telah dipindahkan ke wad biasa.

Nicholester dan Mohd Fadhirul yang terlibat dalam rondaan mencegah jenayah di kawasan kejadian terserempak dengan Perodua MyVi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan suspek supaya berhenti.

Melihat suspek memecut kereta, kedua-dua anggota polis mengejar mengejar kenderaan mereka sebelum MPV bergesel dengan kereta dipandu suspek menyebabkan kereta peronda itu melanggar  kenderaan di hadapan dan terbalik.

Pagi tadi, Ayob Khan mengesahkan kenderaan suspek berjaya ditemui polis kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Kampung Pandan, iaitu tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

Kesemua suspek dalam kenderaan itu disyaki terlibat dalam pengedaran dadah berdasarkan penemuan dadah dalam kereta tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda