PKP : Penunggang motosikal ditahan, beg berisi ganja


shadow

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal ditahan selepas polis menemukan sebuah bekas berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja di dalam begnya ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di persekitaran Tesco Rawang, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menahan suspek lelaki pada kira-kira 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata selain dadah yang ditemukan di dalam beg suspek, polis turut menjumpai sebatang rokok gulung dan suspek gagal memberikan alasan munasabah berada di luar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Polis telah merampas barang kes itu dan membawa suspek ke IPD Gombak untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Arifai berkata suspek akan direman esok manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

SUMBER – BERNAMA

Tinggalkan komen anda