20 senator yang tidak hadir pengundian Undi 18


shadow

Dua puluh senator tidak hadir untuk mengundi pada pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia minimum pengundi kepada 18 tahun, semalam.

Daripada jumlah itu, 11 senator adalah dari BN, seorang dari PAS, dan empat dari bekas parti gabungan BN.

Selain itu, satu senator masing-masing dari PKR, Bersatu, Upko, dan Amanah turut tidak hadir. Senator Amanah yang tidak hadir ialah Aiman Athirah Al Jundi yang sedang bercuti bagi menunaikan ibadah Haji.

Senator Bersatu Khairudin Abd Samad memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa senator Bersatu Isa Ab Hamid juga tidak dapat hadir kerana menunaikan Haji.Iklan

BN mempunyai 27 senator, bererti 11 yang tidak hadir adalah 40.7 peratus daripada kesemua senator BN.

Antara senator yang tidak hadir ialah Naib Presiden MCA Ti Lian Ker, bekas naib ketua pemuda Umno Khairul Azwan Harun, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dari PKR.

Khairudin berkata terdapat 63 senator yang hadir pada sesi pagi hari itu, tetapi hanya 48 orang, termasuk Speaker SA Vigneswaran, yang berada dalam dewan selepas rehat tengah hari.

PH hanya mempunyai 28 senator dari 68 kesemuanya di Dewan Negara. Bagaimanapun, PH mendapat sokongan yang cukup di Dewan Negara untuk meluluskan undang-undang itu.

Pada 16 Julai, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur minimum pengundi kepada 18 tahun.

Rang undang-undang itu telah diluluskan setelah mendapat 211 undi daripada 222 ahli parlimen, dan tidak ada yang membantah.

Ini merupakan kali pertama Perlembagaan Persekutuan dipinda sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

PH sebelum ini gagal dalam percubaan pertama untuk meminda perlembagaan, yang melibatkan mengembalikan status Sabah dan Sarawak rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia, pada 9 April lalu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda