Banyak parti Melayu kerana Umno sendiri


shadow

Membaca tulisan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin yang disiarkan di Malaysiakini pada 27 Julau lalu, saya tertarik untuk mengulas beberapa perkara yang beliau utarakan mengenai jangan memperkecil perpaduan Melayu.

Khaled juga mewujudkan persepsi bahawa orang Melayu sekarang teruk berpecah dari segi politik dan kaum bukan Melayu, terutama Cina, mengambil kesempatan itu melalui DAP.

Membahaskan tentang kedudukan Melayu terancam kerana berpecah, kita perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 153 yang telah jelas melindungi keistimewaan orang Melayu.

Ia melalui Yang di-Pertuan Agong yang juga berkuasa melantik perdana menteri dari kalangan orang Melayu dan jemaah menteri yang lazimnya diwakili pelbagai kaum, tetapi tetap ditunjangi kaum Melayu.Iklan

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara keadaan ini dicabar apatah lagi diubah.

Ini menunjukkan bahawa tidak ada kuasa atau kelompok, tidak kira dari kalangan individu, parti politik atau entiti lain, yang berupaya untuk mencabar artikel perlembagaan yang telah dimeterai.

Tidak dinafikan bahawa parti-parti seperti PAS, PKR dan Bersatu adalah serpihan daripada Umno, manakala Amanah adalah parti serpihan dari pada PAS.

Namun sebab penubuhan parti-parti serpihan ini perlu diperhalusi. Perkara yang menyebabkan penubuhan parti-parti ini ialah sikap dan tindakan Umno sendiri.

Misalnya penubuhan PKR pada 1998 ialah antara lain kerana campur tangan dalam sistem kehakiman, pentadbiran polis, kawalan terhadap media.

Selepas era Dr Mahathir Mohamad kali pertama menjadi perdana menteri, keadaan semakin membarah terutama ketika pentadbiran Najib Razak. Bukan saja pengagihan kek ekonomi untuk orang Melayu menjadi hak eksklusif Umno dan kroninya, mereka bertindak lebih berani dengan merompak khazanah negara melalui entiti seperti 1MDB.

Entiti ini terlibat menyalahgunakan dana awam terutama yang berkaitan langsung dengan orang Melayu seperti Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Hasil daripada tindak-tanduk Umno inilah yang memberikan kesedaran kepada orang Malayu untuk menubuhkan parti yang bukan saja memartabatkan bangsa dan agama, tetapi memperjuangkan nilai murni seperti ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan. Hasil dari kesedaran ini muncul parti yang berteraskan kaum dan agama, iaitu Bersatu dan Amanah.

Tentang populariti kerajaan Pakatan Harapan (PH), Malaysia masih dalam fasa peralihan daripada regim lama kepada pentadbiran baru. Sudah tentu proses untuk mengubah keadaan yang telah berakar seperti amalan “Cash is King” yang ditabur kepada rakyat oleh BN dahulu kepada amalan “berdasarkan keperluan” akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Keutamaan kerajaan PH sekarang termasuklah mengukuhkan keadaan fiskal negara sebelum melaksanakan agenda-agenda sosial yang lebih melata.

Selain itu, proses peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim juga adalah antara perkara yang penting yang perlu dilaksanakan dalam tempoh setahun dua akan datang.Oleh itu, untuk membuat rumusan yang simplistik berkenaan populariti kerajaan PH seperti yang dilakukan oleh Khaled Nordin tidak boleh diterima.

Saya menyimpulkan bahawa perpecahan di kalangan orang Melayu (bagi saya berbeza pendapat tidak bermakna berpecah) adalah satu keadaan yang sihat supaya orang Melayu dapat menilai, berfikir dan membuat keputusan akan parti mana yang difikirkan berupaya menjaga kepentingan mereka dan Islam, juga pada masa sama membangunkan kaum-kaum lain yang berbeza agama dan kepercayaan dengan pentadbiran yang adil, bertanggungjawab dan telus.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda