Berang cinta ditolak, lelaki culik wanita


shadow

Seorang wanita berdepan detik cemas selepas diculik seorang lelaki yang berang serta kecewa kerana cintanya tidak berbalas, dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bertam, Kepala Batas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 10.30 malam, wanita berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya di Bertam itu sedang berjalan ke keretanya di kawasan parkir berkenaan untuk pulang ke rumah sebelum didatangi lelaki dikenalinya.

“Ketika wanita itu sedang membuka pintu keretanya, lelaki berumur 27 tahun itu telah bertindak menolak mangsa masuk dengan paksa ke dalam kereta jenis Proton Iriz milik mangsa sebelum memandu kenderaan itu keluar dari kawasan berkenaan,” katanya.Iklan

Beliau berkata ketika berada di dalam kereta, berlaku pergelutan kerana wanita itu cuba melepaskan diri namun tidak berjaya sebelum mangsa bertindak meminta pertolongan dan didengari beberapa rakannya di situ. Beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu cuba menahan kereta terbabit tetapi gagal.

Bapa mangsa berusia 56 tahun yang dimaklumkan tentang kejadian itu kemudiannya cuba menghubungi mangsa tetapi gagal sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak perempuannya itu, katanya.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati selepas melarikan mangsa dari kawasan parkir pasar raya di Bertam, suspek telah memandu kereta berkenaan ke kawasan pasar di Tasek Gelugor yang mana mangsa telah diikat tangannya dan dikurung di dalam kenderaan berkenaan bagi mengelakkan mangsa melarikan diri.

Suspek seterusnya telah menghubungi abang kandungnya untuk memberitahu kejadian itu dan meminta abangnya berjumpa mereka di pasar berkenaan.

“Abang suspek yang tiba di pasar itu kemudiannya membawa suspek dan mangsa ke Pantai Bersih, Butterworth, kira-kira 10 kilometer dari pasar dengan menaiki keretanya sendiri sebelum berjaya memujuk suspek untuk menyerah diri kepada polis.

“Selepas lebih empat jam di situ, lelaki itu kemudiannya bersetuju untuk menyerah diri dan abang suspek membawa dia dan mangsa ke Balai Polis Kepala Batas kira-kira 4.30 pagi untuk tindakan lanjut, wanita itu tidak mengalami kecederaan manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mengaku bertindak sedemikian kerana mangsa tidak mahu menjalinkan hubungan dengannya dan sebelum ini bapa mangsa pernah membuat laporan polis kerana anak perempuannya sering diganggu lelaki berkenaan.

“Kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam dan suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah. Lelaki itu kini direman untuk siasatan menurut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda