‘Biar Mahathir jadi PM sampai umur 100 tahun’


shadow

ULASAN | Sayugia kita – PAS – sebagai pembangkang bersama-sama penduduk dunia seluruhnya menganugerahkan ucapan selamat hari jadi ke-94 kepada Dr Mahathir Mohamad pada 10 Julai lalu.

Didoakan beliau sihat, mendapat kesihatan yang terkawal, diberi kekuatan bagi meneruskan pentadbiran negara. Moga-moga beliau dapat memulihkan segala yang tempang sesegera mungkin dalam tempoh penggal dan usia lanjut yang Allah anugerah itu. 

Tiada perdana menteri pilihan rakyat berusia 90-an melainkan dari Malaysia saja. Dan itu pun sekarang Malaysia mungkin tidak dapat mengulangi pengalaman dan sejarah itu dalam berapa tahun akan datang.Iklan

Bukan kita saja, bahkan tiada dunia demokrasi ada perdana menteri seusia itu. Lapan puluhan payah. Perdana menterinya Mahathir itu tidak sekadar menghadirkan diri saja, bahkan menghidupkannya dengan aneka wawasan.

Jika boleh biar dia jadi perdana menteri sehingga berusia 100 tahun, biar tercatat dalam sejarah dunia betapa perdana menteri yang mencapai usia 100 tahun hanya dari Malaysia. 

Kita tidak banyak sejarah gemilang, jadi biar perdana menteri berusia 100 tahun jadi kegembiraan kita.

Ini pun satu anugerah Allah kepada kita. Kita sayugia syukur dengan pemberian-Nya itu dan sebagai orang Islam kita pohonkan dilimpah hidayah sempurna, moga-moga pimpinannya membawa rahmat dan kemakmuran.

SPR lanjutkan tempoh

Gagasan Penyatuan Ummah (GPU) yang merangkumi PAS dan Umno setuju dia terus jadi perdana menteri sehingga tamat penggal, bukan sementara. 

Jika jadi perdana menteri hingga berusia 100 tahun tiada masalah. Biar sejarah perdana menteri 100 tahun datang dari negara kita. 

Tetapi untuk sampai ke usia itu kita terpaksa tunggu enam tahun lagi, sedang PRU ke-15 dijangka dua tiga tahun lagi. Demi demokarasi GPU tidak sedia tunggu enam tahun. Lainlah jika SPR lanjutkan tempoh PRU ke-15 sehingga 2025. 

Sekalipun sentimen sejarah demi negara adalah menarik, GPU boleh bersabar hingga tempoh penggal yang ada sekarang saja. Jika penggal yang ada ini dipendekkan, GPU mengalu-alukannya. 

Bagi wawasan GPU, lagi panjang tempoh kerajaan PH, lagi banyak kerosakan negara dan kemusnahan umat. Membenar dia menghabiskan penggalnya ialah bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih banyak. 

Ia buruk juga, tetapi buruk yang tidak maksimum. 

Ada tanda-tanda kesabaran PAS disukai Bersatu, parti Dr Mahathir.  

Muhyiddin Yassin mewas-waskan Dr Mahathir bukan perdana menteri sepenggal, bahkan untuk beberapa penggal, hingga usia lewat 100 tahun.

Dari sudut sejarahnya ia boleh ditoleransi, tetapi dari sudut demokrasi dan keburukannya, PAS tidak boleh terima. 

Penggal yang normal ini saja sudah banyak bobroknya. Jika lebih dari satu penggal, lebih pula bobroknya. 

Jika mahu dilanjutkan lebih dari satu penggal, ia mesti berlawan dulu dalam PRU. Tiada laluan mudah. 

PAS dan Umno sabar perdana menteri menamatkan penggalnya. Ia bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia tidak mahu demokrasi yang berbilang perdana menteri dalam satu penggal. 

Indahnya kerajaan PH ialah antirasuahnya saja. Keadilan, perkauman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain hapak dan haprak belaka. 

PAS tidak tahu apa yang ia boleh dapat dengan menyokong Mahathir terus jadi perdana menteri. Untuk join PH, ikut loghat bahasa Ustaz Fadzil Noor, ia “tidak buloq“. Mahathir jadi perdana menteri semula bukan atas sokongannya.  

Dia naik kali ini atas sokongan Kit Siang.

Apabila dia hendak dibuang, PAS tidak mengundi membuangnya. PAS mahu dia terus jadi perdana menteri pada usia 95, 96 dan 97 dengan izin Allah. 

PAS harap kesihatannya yang elok. Itulah doa harijadinya yang ke-94. 

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda