Hassan mengaku letak jawatan kerana tak sefahaman dengan istana


shadow

Hassan Karim tetap dengan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Johor meskipun Presiden PKR Anwar Ibrahim menolak surat peletakan jawatan ahli parlimen Pasir Gudang itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Hassan turut mengesahkan keputusan itu dibuat antara lain kerana tak sefahaman dengan istana Johor.

“Ada perbezaan saya sedikit (dengan istana). Itu memang betul. Dalam surat itu kepada Anwar, saya memang ada sebut perkara ini.

“Saya tak mahu jadi beban kepada parti dan presiden parti,” katanya.Iklan

Justeru, Hassan memohon maaf kepada Anwar atas pendiriannya itu.

“Ini adalah kali-kedua (letak jawatan). Saya terima (pelantikan pertama sebelum ini) sebab dia (Anwar) baru lantik jadi presiden. Waktu itu saya pegang semula.

“Tetapi kini adalah kali kedua (letak jawatan), tak nak reverse (ubah keputusan) kali ini. Malah ini melibatkan persoalan intergriti saya nanti. Nanti orang tak akan percaya saya, macam crying wolf (acah-acah), orang langsung tak percaya. Ini bukan sandiwara. Ada sebab.

“Apa-apa pun saya menghormati presiden, tapi saya minta maaf kepada presiden, keputusan saya muktamad,” katanya.

Selain itu, Hassan menambah bahawa selain tetap menyokong Anwar sebagai bakal perdana menteri kelapan, dia juga rela menerima sesiapa saja bagi jawatan pengerusi PKR Johor.
Cadang Jimmy Puah sebagai penganti

Bagaimanapun, ketika ditanya calon yang difikir sesuai mengambil alih jawatan pengerusi Johor PKR, Hassan mencadangkan timbalannya Jimmy Puah.

“Prerogatif (keputusan) adalah di tangan presiden. Tapi kalau anda tanya pendapat peribadi, saya rasa timbalan pengerusi saya, Jimmy Puah.

“Beliau adalah exco Johor. Jadi timbalan ketua sudah masuk dua penggal. Dia memahami Johor. Tapi saya serah kepada Anwar (untuk buat keputusan),” katanya.

Pada 20 Julai, Anwar berkata dia tidak bersetuju dengan peletakan jawatan Hassan.

Jumaat lalu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa peletakan jawatan Hassan tidak ada kaitan dengan perselisihan antara Anwar dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Hassan pada Disember tahun lalu menolak pelantikan sebagai pengerusi PKR Johor selepas anak perempuan Anwar, Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden PKR dan pengerusi negeri Pulau Pinang.

Hassan ketika itu berkata pelantikannya sebagai pengerusi PKR Johor telah dipertikaikan justeru menolak pelantikan adalah tindakan yang sesuai, selain menyarankan agar PKR meminda perlembagaan parti berhubung pemilihan pengerusi negeri.

Selepas hasrat untuk meletakkan jawatan itu ditolak Anwar, Hassan kembali menjalankan tugas sebagai pengerusi PKR Johor.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda