Imigresen P Pinang bongkar operasi syarikat guna PATI


shadow

Kelicikan sebuah syarikat menggajikan dan menyembunyikan pekerja yang terdiri daripada kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang ke atas sebuah syarikat menguruskan sisa buangan pepejal yang terletak di Batu Maung, di Pulau Pinang semalam.

Dalam serbuan di sebuah rumah kongsi pada kira-kira pukul 10 malam itu, penguatkuasa JIM mendapati rumah itu menempatkan 22 orang lelaki warga Bangladesh, dengan 21 daripada mereka didapati tinggal dalam negara melebihi tempoh yang dibenarkan.

Pengarah Imigresen Negeri Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata siasatan awal mendapati 21 lelaki itu pernah terlibat dalam Program Penggajian Dan Penempatan Semula Pekerja Asing atau Rehiring, namun kesemua mereka kemudiannya didapati tidak memenuhi syarat dan tidak layak menyertai program berkenaan.

“Majikan sepatutnya menghantar pulang kesemua mereka sejak tahun lepas tetapi tidak berbuat demikian malah terus menggajikan warga asing itu bekerja di Malaysia,” katanya.Iklan

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas syarikat dan pemilik premis yang menggaji serta menempatkan warga asing di rumah kongsi itu supaya tindakan undang-undang dapat di ambil ke atas mereka.

Beliau berkata semua warga asing yang ditahan itu berusia antara 28 dan 40 tahun dan mereka dihantar ke Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut.

– Bernama

Tinggalkan komen anda