Ingat lantik penyiasat persendirian jejak bekas suami, anak Indira


shadow

Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) telah melantik penyiasat persendirian dalam usaha mencari anak Indira Gandhi, Prasana Diksha yang didakwa disembunyikan oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy berkata, pasukan penyiasat persendirian yang dilantik itu akan memulakan tugas mencari anak pasangan yang telah bercerai itu di sempadan negara, khususnya di Thailand.

“Kami akan memastikan Pasukan Petugas Khas PDRM dimaklumkan dengan perkembangan terbaru terutama dalam membantu kami dalam menangkap Riduan atau untuk semua perkara berhubung siasatan di sempadan.

“Jadi lebih baik untuk Riduan menyerah diri dan elakkan terpalit dengan semakin banyak kecelaruan dan kesusahan yang telah ditimbulkannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.Iklan

Ingat turut menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador yang mengesahkan bahawa pihak polis akan melipatgandakan usaha untuk menyelesaikan kes itu

Ingat adalah kumpulan yang ditubuhkan khas dalam usaha mencari Prasana yang didakwa disembunyikan dan dilarikan oleh bekas suami Indira ketika anak gadis mereka berusia 11 bulan dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka secara sepihak kepada Islam pada tahun 2009.

Perbalahan berpanjangan antara Riduan dan Indira berterusan dan telah mengheret kedua-dua mahkamah syariah dan sivil.

Dua lagi anak Indira kini tinggal bersamanya, tetapi keberadaan Prasana dan bapanya sehingga hari ini tidak diketahui.

Sementara itu, Ingat juga mengumumkan hadiah wang tunai RM10,000 kepada sesiapa yang boleh memberi maklumat berkenaan Riduan dan anaknya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda