Jangan heret Interpol dalam permainan politik, kata Zakir pada k’jaan India


shadow

Kerajaan India tidak perlu mengheret Interpol ke dalam permainan politiknya, kata pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik, susulan keputusan agensi polis antarabangsa itu menolak untuk mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Menurut laporan The Malaysian Insight hari ini, Zakir berkata keputusan Interpol itu membuktikan dakwaan yang dikenakan terhadapnya adalah “rekaan dan dirancang”.

“Kamu tidak boleh mengheret Interpol ke dalam permainan politik perkauman kamu. Dakwaan kamu memerlukan bukti dan sebab mengapa ia enggan keluarkan notis merah (RCN) adalah kerana agensi India gagal memberikan bukti,” katanya seperti dipetik.

Zakir juga mendakwa ada pegawai kerajaan India yang terlibat mengendalikan kesnya tahu beliau tidak bersalah.Iklan

“Mereka teruskan kerana mereka dipaksa oleh ketua mereka. Mereka terus membuang masa mereka dan wang pembayar cukai dengan agenda politik parti pemerintah, sedangkan mereka sepatutnya menangkap penjenayah sebenar dan selesaikan kes jenayah yang sebenar,” katanya lagi.

Pada 22 Julai lalu, Interpol dilaporkan berkata Zakir tidak tertakluk kepada notis merahnya selepas mendapati dakwaan yang diberi “menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan”.

Notis merah Interpol itu dipohon Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dalam usahanya mengekstradisi Zakir yang kini berstatus penduduk tetap Malaysia.

Beliau berdepan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Dalam pada itu, Zakir turut membidas kerajaan India di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi berkenaan dakwaan ke atasnya.

“…Saya tidak pasti berapa lama perkara ini akan berlarutan. Apa yang saya pasti, kebenaran berpihak kepada saya dan keputusan Interpol menunjukkan kebenaran sudah pun menang,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan berhak untuk memastikan orang yang dihantar balik berikutan permintaan ekstradisi negara asalnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

“Sebelum kita terima (permohonan) ekstradisi (dari India), kita perlu tahu apa yang akan berlaku kepada (individu) yang diekstradisi,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda