Kerajaan lulus RM34j untuk terus bina rumah generasi kedua Felcra


shadow

Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM34 juta bagi meneruskan pembinaan rumah generasi kedua Felcra di seluruh negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Beliau berkata terdapat 675 unit rumah generasi kedua Felcra di lima lokasi seluruh negara.

Antaranya di Pekan serta Bera di Pahang, serta Sukau di Kinabatangan, Sabah yang tertangguh pembinaannya dan memerlukan RM73 juta untuk diteruskan.

“Perkara ini telah diangkat, dibincang (di kabinet) dan untuk peringkat awal kerajaan setuju meluluskan RM34 juta bagi meneruskan projek ini.Iklan

“Ini termasuk 140 unit di Pekan, Pahang… walaupun di Pekan, saya luluskan juga, 123 unit di Sukau serta (tanpa menyatakan unit) di Bera, Pahang,” kata Azmin semasa berucap pada majlis Silaturrahmi Bersama Warga Felcra Seberang Perak di Pasir Salak, hari ini.

Untuk rekod Pekan ialah kawasan parlimen yang kini diwakili Najib Razak.

Selain itu, Azmin memberi jaminan untuk membawa isu tunggakan pembayaran Koperasi Peserta Felcra – berjumlah RM21 juta – kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta Kementerian Kewangan sambil berharap ia dapat diselesaikan segera.

Selain itu, Azmin meminta agar pengurusan Felcra memberi keutamaan kepada Koperasi Peserta Felcra sekiranya terdapat projek seperti membangunkan kawasan perladangan agar dapat menjana pendapatan koperasi.

“Ini selari dengan shares prosperity (kemakmuran saham). Jika beri keutamaan kepada mereka, maka mereka akan ada pengalaman dan kebolehan serta boleh membayar dividen kepada peserta,” katanya.

Beliau menarik perhatian apabila mencadangkan pengurusan Felcra supaya tidak menggunakan keseluruhan kawasan tanah yang ada untuk menanam getah dalam projek tanaman semula.

Sebaliknya, beliau berkata sebahagian kawasan perlu diusahakan dengan tanaman kontan yang mampu memberikan pulangan cepat seperti nanas yang bukan sahaja terjamin, malah mempunyai permintaan tinggi.

– Bernama

Tinggalkan komen anda