PBB: Usaha M’sia bantu pelarian Rohingya perlu dicontohi


shadow

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Myanmar Prof Yanghee Lee menggesa negara lain mencontohi usaha Malaysia yang membantu memperbaiki kehidupan penduduk Rohingya.

Lee berkata demikian semasa melawat Pusat Pembelajaran Alternatif di Kuaal Lumpur, yang menyediakan pendidikan serta kemahiran asas kepada kanak-kanak Rohingya untuk memastikan mereka tidak menjadi generasi yang ketinggalan.

“Sebahagian besar kanak-kanak Rohingya dinafikan untuk menerima asas pendidikan di Myanmar. Saya mencadangkan kepada negara lain yang menjadi tuan rumah kepada pelarian untuk mencontohi langkah Malaysia,” katanya pada sidang akhbar, selepas mengakhiri lawatan ke Malaysia pada Khamis.

Lee tiba di sini pada Selasa dan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, pelarian Myanmar serta kumpulan masyarakat. Iklan

Sebelum itu beliau berada di Thailand.

Beliau turut meluangkan masa bertemu dengan pelarian dari pelbagai kawasan di Myanmar termasuk Rakhine, Chin, Kayin, Shan dan Kachin States dan Yangon, yang telah berada di Malaysia lebih sepuluh tahun.

“Masalahnya Myanmar merupakan negara yang mempunyai banyak pelarian dan ia bukanlah perkara baru – ada yang baru tiba, dan semakin ramai datang ke sini,” katanya sambil menyifatkan Malaysia tempat yang selamat kepada mereka.

“Tiada seorang pun mengatakan mereka akan selamat jika kembali ke negara asal,” katanya.

Lee berkata, pelarian turut berkongsi mengenai keinginan untuk mendapatkan akses lebih mudah kepada kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan, dan perkara ini telah dimaklumkan beliau kepada kerajaan Malaysia ketika pertemuan dengan Saifuddin.

Selepas lawatannya ke Malaysia dan Thailand, beliau mendapati bagaimana situasi hak asasi manusia di Myanmar menjadi pencetus kepada isu serantau yang serius di Asia Tenggara termasuk kewujudan hampir 1.5 juta pelarian Myanmar di Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, mengulas mengenai sekatan perjalanan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap empat pegawai tentera Myanmar termasuk keluarga terdekat, Lee berkata tindakan itu tidak memberi kesan kepada kumpulan itu kerana apa yang diperlukan ialah tindakan lebih konkrit.

“Lebih baik ada daripada tiada. Tetapi kenapa AS mengambil masa begitu lama untuk berbuat demikian? Saya fikir AS juga perlu membekukan aset milik pegawai dan keluarga mereka dan tindakan juga wajar diperluaskan kepada pemimpin lain,” katanya.

Jabatan Negara AS pada Selasa mengeluarkan sekatan perjalanan terhadap Panglima Angkatan Tentera Min Aung Hlaing, Timbalan Panglima Soe Win, Brigadier Jeneral Than Oo dan Brigadier Jeneral Aung Aung.

Bernama

Tinggalkan komen anda