Polis: Jangan provokasi kes rogol libatkan exco Perak


shadow

Polis Perak meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi terhadap kes seorang Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata perbuatan itu boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.

“Pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan mengikut undang-undang serta kuasa-kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini sebagai mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa polis tidak melakukan tangkapan terhadap Exco berkenaan.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.Iklan

Menurut Razarudin, sehari selepas laporan dibuat, pihaknya telah menangkap Exco berkenaan yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai dalam tempoh 24 jam.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan telah dikembalikan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya termasuk mendapatkan laporan pakar serta Jabatan Kimia, kata Razarudin.

– Bernama

Tinggalkan komen anda