Siasat dakwaan wujud pembalakan haram


shadow

KERAJAAN Terengganu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan wujudnya projek pembalakan dan perlombongan haram di Bukit Besi, Dungun, sehingga mengundang kehadiran Harimau Malaya di kawasan perkampungan penduduk di situ.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Perhutanan sebelum membuat kesimpulan.

“Pihak PERHILITAN sedang menjalankan kajian terhadap harimau terbabit dan sampel darah juga sudah dihantar, namun keputusan belum diperoleh. Jadi kita perlu menunggu keputusan untuk mengetahui sebab keadaan itu timbul.

“Biar pihak berkuasa jalankan siasatan mereka sebelum kita membuat kesimpulan,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

DR AHMAD Samsuri merasmikan Majlis Pecah Tanah RPMM Tok Jembal, Kuala Nerus. FOTO Imran Makhzan

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengambil berat terhadap isu pembalakan dan perlombongan dengan memastikan pihak yang diberi lesen mematuhi kriteria dan peraturan ditetapkan.

“Pembalakan dan perlombongan haram serta kehadiran harimau itu adalah dua isu berbeza, namun kita serah kepada PERHILITAN dan Jabatan Perhutanan sebelum langkah seterusnya boleh dibuat,” katanya.

Baru-baru ini, gempar apabila Harimau Malaya yang diberi jolokan ‘Awang Besul’ muncul berkeliaran di kawasan penempatan di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun.

Hasil operasi PERHILITAN, harimau terbabit berjaya ditangkap dan dihantar untuk dirawat serta dikuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC), Sungkai, Perak, namun disahkan mati 5.30 pagi semalam.

PERHILITAN melalui satu kenyataan dilaporkan berkata, keputusan virologi diterima Isnin lalu menunjukkan Awang Besul positif ‘Virus Canine Distemper’ melalui ujian RT-PCR.

-myMetro

Tinggalkan komen anda