Sungai Simpang Kanan ‘berpenunggu’?


shadow

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor akan terus memantau kawasan sekitar Sungai Simpang Kanan, Batu Pahat, terutama sekitar kawasan sungai berhampiran Kampung Sri Bengkal, Sri Gading, susulan tular dalam media sosial kehadiran buaya di kawasan itu.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima aduan rasmi berkenaan reptilia berkenaan tetapi mengambil maklum mengenai kehadiran buaya itu yang tular di laman Facebook sejak semalam.

“PERHILITAN di daerah berkenaan sudah melakukan tinjauan di kawasan sekitar, namun ketika tinjauan dilakukan tiada kelibat buaya kelihatan.

“Di sini kami menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu bimbang kerana buaya ini tidak mengancam keselamatan dan kawasan sungai sememangnya habitatnya.

“Saya juga menasihatkan orang ramai atau penduduk kampung tidak mengganggu buaya berkenaan sehingga menyebabkannya bertindak agresif selain jangan mengambil tindakan sendiri jika menemuinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, PERHILITAN tidak akan memandang ringan isu berkenaan kerana ia turut membabitkan orang ramai kerana kedudukan sungai berhampiran kawasan penempatan dan penduduk diminta bersedia melakukan tindakan sewajarnya sekiranya keperluan mendesak.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan itu terutama pada waktu kebiasaan buaya timbul di tebing untuk ‘memanaskan’ badan tetapi tiada keperluan memasang perangkap.

“Kami akan terus pantau lokasi dan sekiranya didapati buaya ini mengancam nyawa manusia, kita akan pasang perangkap. Jika dikatakan nampak kelibat saja, tidak perlu pasang perangkap,” katanya.

Semalam, tular rakaman video berdurasi 44 saat menunjukkan seekor buaya sedang ‘bersidai’ di tebing sungai didakwa menimbulkan keresahan penduduk setempat.

Tinggalkan komen anda