Tebalkan muka minta wang di masjid


shadow

SEORANG lelaki mendakwa terpaksa meminta wang di hampir seluruh masjid di Selangor selepas terbabit dengan kemalangan sehingga menyebabkan dia tidak mampu bekerja.

Bekas pengawal keselamatan, Khalid Yahya, 55, berkata selepas kemalangan pada Julai 2016, dia patah tangan serta kaki kirinya.

Menurutnya, sehingga kini dia masih belum menerima wang caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) walaupun sudah membuat dua kali rayuan.

“Saya kini tidak mampu lagi bekerja. Bukan tidak cari, namun rata-rata mereka tidak mahu mengambil saya berikutan keadaan kaki tidak mengizinkan.

“Walaupun, menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing RM300 sebulan, namun ia tidak mampu menampung kehidupan di bandar.

“Jadi saya terpaksa tebalkan muka meminta wang di masjid. Saya sudah pergi hampir seluruh masjid di Selangor kira-kira dua tahun untuk meminta bantuan,” katanya kepada Harian Metro.

Khalid berkata, dia hanya mahu menuntut wang caruman yang dibuat setiap bulan kepada PERKESO ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej di Kelana Jaya.

Katanya, jika masih gagal, dia akan berbincang dengan peguam untuk tindakan mahkamah.

Sementara itu, Harian Metro turut mendapatkan penjelasan daripada pihak PERKESO berhubung perkara itu.

Jurucakap PERKESO memaklumkan, situasi itu berlaku berikutan Khalid tidak disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan.

“Mengikut semakan kita, keilatan dia tidak mencapai 65 peratus dan boleh diberikan pemulihan semula. Kita akan lihat dari segi keupayaan jika dia betul-betul tidak lagi boleh bekerja.

“Kita bergantung dengan keputusan doktor. Kita bagi borang dan pengesyoran, kemudian doktor akan syorkan bayar atau tidak.

“Namun, dia masih boleh membuat rayuan kepada PERKESO,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda