Tok Ki zikir berdiri sudah dikenal pasti


shadow

MAJLIS Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu sudah mengenal pasti lelaki dikenali Tok Ki yang didakwa membawa ajaran sesat dengan mengamalkan zikir yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan lelaki itu yang berasal dari negeri ini dan laporan sudah dihantar ke Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau berkata, MAIDAM serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) tidak boleh mengambil tindakan termasuk menahan individu terbabit kerana kegiatan itu dilakukan di Pahang tetapi keterangan daripadanya sudah dihantar ke JAIP.

“MAIDAM tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan termasuk menahan individu itu kerana tidak diberi penjelasan mengenai kesalahan seperti dakwaan kononnya ajaran dilakukan menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad.

Osman berkata demikian mengulas kegiatan dilakukan sekumpulan penduduk diketuai Tok Ki di sebuah surau di Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, yang berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh dan dikatakan menyimpang daripada ajaran Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, aktiviti itu sah menyimpang dan menyeleweng namun masih belum dipastikan ajaran atau tarekat diamalkan dan usaha JAIP untuk mengambil keterangan gagal apabila individu itu melarikan diri ke Terengganu.

JAIP meminta kerjasama MAIDAM dan JHEAT membantu mengambil keterangan daripada individu berkenaan dan individu itu memberi kerjasama apabila tampil ke JHEAT untuk memberi keterangan.

Mengulas mengenai ajaran sesat di negeri itu, Osman berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan setakat ini tiada laporan mengenai kegiatan itu termasuk di Perkampungan Ayah Pin di Batu 13, Kuala Besut, Besut.

Katanya, kali terakhir kegiatan ajaran sesat dikesan di negeri itu Mac tahun lalu, tetapi ketua ajaran sesat dikenali Raja Bunian yang menjalankan kegiatan di sebuah surau di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun, sudah dikenakan tindakan.

“Lelaki berusia 34 tahun yang mendakwa dirinya sebagai raja bunian sudah didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Syariah Jenayah Takzir Terengganu 2001, Julai tahun lalu,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda