Tun M kekal lelaki Malaysia paling dikagumi


shadow

SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengungguli senarai lelaki Malaysia paling dikagumi, demikian menurut kajian tahunan YouGov yang dinanti-nantikan masyarakat.

Keputusan itu, yang berdasarkan kepada kajian ke atas 1,075 rakyat Malaysia oleh sebuah firma pasaran, juga melihat Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan pertama Malaysia terpaksa mengalah kepada Perdana Menteri berusia 94 tahun itu, untuk menduduki tempat kedua.

Satu lagi nama rakyat Malaysia yang dikagumi dalam senarai sepuluh teratas itu ialah Datuk Lee Chong Wei, yang baru-baru ini bersara daripada bermain badminton Olimpik dengan menduduki tempat keenam.

Usahawan billionaire teknologi juga antara yang turut disenaraikan.

Antaranya pengasas microsoft dan dermawan Bill Gates menduduki tempat keempat, pengasas Alibaba Jack Ma di tempat kelima dan pengasas Facebook Mark Zuckerberg menduduki tempat kesembilan.Ahli politik juga disenarai dalam 10 teratas dengan bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di tempat kelapan dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di tempat kesepuluh.

Senarai 10 individu paling dikagumi itu dilengkapi dengan aktor seni mempertahankan diri dari Hong Kong, Jackie Chan di tempat ketiga dan pemain bola dari Portugis, Cristiano Ronaldo tempat ketujuh.

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pula adalah wanita Malaysia paling dikagumi untuk dua tahun berturut-turut disusuli isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Wanita pertama Malaysia sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menduduki tempat ketiga.

Senarai wanita Malaysia itu dilengkapkan dengan usahawan dan pengasas FashionValet dan The dUCk Group, Datin Vivy Yusof di tempat ketujuh.

Pengacara program bual bicara Oprah Winfrey menduduki tempat keempat, pelakon Hollywood Angelina Jolie dan Emma Watson masing-masing di tempat kelima dan keenam dan penyanyi Amerika Taylor Swift di tempat ke 10.

Senarai itu dilengkapi dengan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama di tempat kelapan dan Queen Elizabeth II di tempat kesembilan.

Pada Disember, YouGov mengumpulkan pencalonan daripada juri dari 41 negara dan menyoal mudah: “Fikirkan orang yang masih hidup di dunia hari ini, siapakah lelaki atau wanita yang anda paling kagumi?”

Pencalonan ini kemudian digunakan untuk mengumpul senarai 20 lelaki dan 20 wanita yang menerima pencalonan paling banyak dan dicalonkan oleh sekurang-kurangnya empat negara.

Tambahan 10 individu tempatan popular ditambah kepada senarai itu untuk setiap negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda