5 individu dipanggil bagi soal siasat isu himpunan anti-Lynas


shadow

Pihak polis telah memanggil lima individu untuk disoal siasat berhubung himpunan anti-Lynas yang berlangsung di Taman Gelora, Kuantan pada Ahad lepas.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung dan pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) Tan Bun Teet.

Selain daripada Lee dan Tan, tiga individu lagi yang akan memberi keterangan adalah Adun Teruntum Sim Chon Siang, penasihat undang-undang SMSL Hon Kai Ping dan setiausaha SMSL Chu Seng Poong.

Jelas Lee, polis Kuantan menghubunginya dan memintanya untuk hadir memberi keterangan pada hari ini. 

Namun, kata Lee, dia tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur dan pertemuan tersebut ditangguh kepada keesokan hari.

Tambah Lee, pihak polis tidak memberitahu undang-undang yang digunakan untuk siasatan berkenaan.

Lee turut memaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak membalas permohonan penganjur himpunan yang memohon mengunakan Taman Gelora.

“Saya berpendapat bahawa kebebasan berhimpun adalah hak asasi manusia yang dijamin perlembagaan. Ia perlu diiktiraf setinggi-tingginya.

“MPK tidak memberi sebarang balasan bertulis dalam permohonan penggunaan taman. Oleh sebab taman tersebut adalah premis awam, maka pembayar cukai dan penduduk berhak menggunakannya.

“MPK perlu bekerjasama dengan erat dan bukan menyulitkan keadaan. Polis tidak patut menggunakan alasan teknikal untuk menolak permohonan,” kata wakil rakyat PKR itu kepada Malaysiakini.

Tan pula berkata lima individu akan memberi keterangan di Pusat Khidmat Lee.

“Masa belum ditentukan, kita perlu lihat pukul berapa Lee balik ke Kuantan,” katanya yang turut menyatakan rasa kesal kerana MPK tidak membalas permohonan penggunaan Taman Gelora.Sementara itu, Sim memberitahu Malaysiakini bahawa polis akan mengambil keterangannya dan Hon pada 11 pagi esok di pusat khidmatnya yang terletak di Jalan Beserah, Kuantan.

Menurutnya, Lee dan dua orang lagi akan diambil keterangan Jumaat.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali untuk mendapatkan ulasan.

Walaupun pemohonan menggunakan premis tidak dijawab, 500 peserta perhimpunan anti-Lynas berhimpun di Taman Gelora, Kuantan pagi Ahad lalu bagi membantah keputusan kerajaan melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda