8 panduan perkhidmatan Gojek


shadow

PERSATUAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) mencadangkan lapan garis panduan perlu dipertimbangkan pihak berkuasa sebelum membenarkan perkhidmatan e-hailing Gojek beroperasi dalam negara.

Presiden MSOSH, Khairuddin Hairan berkata, ini bagi memastikan perkhidmatan Gojek dapat memberi perlindungan secukupnya kepada penunggang Gojek memandangkan tempat kerja mereka iaitu ‘di jalan raya’ adalah berisiko tinggi.

“Antara garis panduannya adalah pembawa Gojek wajib mempunyai lesen menunggang motosikal sah, sihat tubuh badan dan tidak mempunyai kompilasi penyakit serta menghadiri latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti Latihan ‘​Safe Defensive Riding​’​​,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Turut dicadangkan, pembawa Gojek perlu mempunyai perlindungan insurans diri, berdaftar dan mencarum dengan Pertubuhan​ ​Keselamatan Sosial (PERKESO)​, mempunyai identiti pengenalan diri seperti uniform dan tag nama bagi memastikan​ ​perkhidmatan ini tidak disalah gunakan​ serta ​kenderaan Gojek ditetapkan piawaian khusus untuk had laju pengoperasian.

“Perkhidmatan Gojek dicadangkan mempunyai sistem penarafan berkesan seperti perkhidmatan e-hailing Grab terhadap penunggang yang merangkumi sikap selamat dan pematuhan terhadap undang-undang ketika menunggang,” katanya.

MSOSH turut mencadangkan pembabitan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan persatuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia dalam kajian pelaksanaan Gojek.

Ini bagi membantu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan membuat keputusan tepat dalam perkara ini.

Jelas Khairuddin, cadangan itu harus dipertimbangkan memandangkan sebarang pengabaian mengenai aspek keselamatan dan kesihatan berkemungkinan menambah lagi statistik kemalangan maut, kecederaan mahupun kemerosotan tahap kesihatan hingga menyebabkan kehilangan keupayaan untuk bekerja dalam kalangan anak muda.

“Golongan ini sangat berisiko kerana lebih 70 peratus kemalangan maut di Malaysia membabitkan penunggang motosikal. Justeru, pembangunan garis panduan itu salah satu usaha membantu menangani masalah ini.

“MSOSH sentiasa menyokong sebarang inisiatif kerajaan bagi meningkatkan tahap dan taraf sosio-ekonomi rakyat dan negara terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di negara ini, namun mesti mengambil kira segala aspek terutama perihal keselamatan dan kesihatan membabitkan pekerja atau penunggang Gojek ini,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda