Amaran keras KDN


shadow

KERAJAAN memberi amaran akan bertindak tegas terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Nada tegas itu disuarakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan tugas mereka terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu sejak kebelakangan ini.

“PDRM sedang mengambil tindakan dalam perkara ini dan akan memanggil Dong Zong (pertubuhan Cina), Koon Yew Yin (ahli pernaigaan) dan Dr Zakir Naik (pendakwah antarabangsa) untuk disoal siasat.

“Langkah ini ekoran beberapa laporan polis dibuat terhadap mereka dan siasatan sedang pun dijalankan dan setakat ini, beberapa individu lain juga sudah dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian PDRM.

“Tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terbabit di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti mencukupi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata, PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) sentiasa memantau kenyataan didapati berpotensi mengeruhkan keadaan terutama di media sosial.

Justeru, beliau mengingatkan pengguna laman sosial supaya sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak termasuk bukan warga Malaysia bahawa agensi penguatkuasaan di bawah kementerian saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini,” katanya.

Beliau juga mahu semua pihak menghentikan perbuatan mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian, sebaliknya perlu menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan sesuatu kejadian.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu. Saya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kenyataan atau komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan menghantar rakaman skrin kepada akaun media sosial rasmi PDRM,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Dong Zong sebagai rasis berikutan bantahan pengajaran khat Jawi di sekolah jenis kebangsaan manakala Koon menyebarkan dakwaan beransur hasutan bahawa anggota tentera tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur.

Zakir pula disiasat selepas mengeluarkan kenyataan kaum Cina di negara ini juga tetamu seperti dirinya.

  • myMetro

Tinggalkan komen anda