Amira bisikkan doa hajat di Tanah Suci


shadow

Melihat sendiri Kaabah di depan mata, ada doa yang terbit dari hati Amira Othman sewaktu dia mengerjakan haji baru-baru ini.

Kata Amira, dalam doanya itu dia berharap agar suatu hari nanti ditemukan peluang untuk mendendangkah lagu-lagu berunsur ketuhanan pula.

“Saya berdoa agar dapat lagu ketuhanan yang bersesuaian.

“Benda ni saya dah lama cari, namun belum jumpa hingga kini. Saya harap karier yang diceburi ni boleh menjadi asbab untuk kebaikan bersama,” katanya.

Amira juga berharap kariernya sebagai penyanyi bukanlah untuk menghiburkan semata-mata, sebaliknya turut memberikan manfaat kepada orang lain.

Amira ditemui pada majlis pengumuman single terbarunya Takkan Merubahdi sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam. Single berkenaan dinyanyikan secara duet bersama Sufian Suhaimi.

Takkan Merubah dicipta Farouk Roman manakala lirik ditulis penyanyi Amylea.

Sakit kaki boleh hilang 

Karya itu diangkat menjadi runut bunyi bagi filem Motif arahan sutradara yang pernah memenangi Anugerah Cannes Lion 2019 Jun lalu, Nadia Hamzah.

Mengulas lanjut, Amira atau – nama penuhnya Nadia Amira Othman – berkata dia bimbang sekiranya karier sebagai seorang penghibur boleh mempengaruhi seseorang ke arah tidak sepatutnya.

“Saya berniat agar karier ni dapat memberi impak yang positif kepada umum. Itu sebab saya mahu lagu-lagu berunsur ketuhanan supaya masyarakat dengar dan cuba fahami mesej.

“Saya harap, kalau ada komposer terbaca kisah ni, berilah peluang tu pada saya,” katanya.


Baca Tiada lelaki idaman, Amira Othman pentingkan kerjaya


Sementara itu, berkongsi pengalaman menunaikan rukun Islam kelima itu, Amira berkata, kesihatannya diuji apabila mengalami sakit di bahagian kaki.

“Di sana memang banyak berjalan ke lokasi yang jauh dari hotel,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi Hati-Hati itu menyifatkan ia sebagai ujian kecil malah tetap bersyukur kerana kesakitan berkenaan hilang setiap kali tiba waktu menunaikan ibadah.

“Kaki akan berasa kejang apabila balik ke hotel, tapi sebelum tu OK, tak rasa apa-apa,” katanya.

Amira menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas dipelawa rakannya, penyanyi Wani Hasrita, untuk sama-sama menunaikan haji melalui jemputan khas kerajaan Arab Saudi.

Rezeki itu berpihak kepada Amira selepas ibu Wani, Norita Jaafar, tidak dapat turut serta atas sebab-sebab tertentu.

  • Malaysiakini

Tinggalkan komen anda