Anwar: Saya tak pernah cadang sertai kabinet Mahathir


shadow

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah bercadang untuk menjadi sebahagian daripada anggota jemaah kabinet Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad meskipun berlaku rombakan kecil dalam portfolio menteri tidak lama lagi.

Sebaliknya, Anwar berkata beliau akan menunggu sehingga gilirannya tiba.

“Saya terikat dengan konsensus dan saya tidak pernah mengusulkan atau bercadang untuk menyertai kabinet.

“Kerana kesefahaman dan konsensus dalam PH yang ditandatangani adalah (Mahathir) perdana menteri akan menjadi perdana menteri dan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri sehinggalah giliran saya,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, di bangunan Parlimen, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir semalam bahawa tidak ada kekosongan untuk Anwar menyertai kabinet buat masa ini.

Mahathir membayangkan Anwar tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan kabinetnya apabila beliau membuat rombakan kecil dalam portfolio jemaah menteri tidak lama lagi.

“Kami tidak mempunyai apa-apa perubahan atau pertambahan bilangan (anggota) kabinet.

“Oleh kerana tiada siapa yang mengatakan mereka ingin meletakkan jawatan, kami tidak mempunyai kekosongan (untuk menampung Anwar),” kata Mahathir.

Mahathir sebelum ini juga berulang kali menegaskan beliau akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar walaupun tidak menyatakan tempoh masa untuk berbuat demikian.

Semasa konvensyen sulung Pakatan Harapan sebelum PRU14, tahun lalu, pemimpin gabungan itu telah menandatangani perjanjian bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri ke-7 dan kemudiannya menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Bagaimanapun perjanjian itu tidak menyebut tempoh masa untuk Mahathir untuk berbuat demikian.

Sementara itu, pada sidang media yang sama Anwar turut berkata Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikannya bersetuju untuk mengadakan sidang khas bagi membincangkan isu kemiskinan dan garis kemiskinan di negara ini.

“Jawatankuasa kaukus bersetuju untuk mengadakan sidang khas yang akan dipengerusikan oleh Mustapa Muhammad untuk mengundang semua anggota parlimen, senator, wakil anggota dewan undangan negeri, wakil NGO, pakar akademik dan juga juga wakil rakyat ajar umbi seperti hari ini yang datang dari Sarawak.

Kata Anwar, sidang khas itu akan diadakan sebelum Dewan Rakyat bersidang semula Oktober depan.

Pada 24 Ogos, Alston berkata garis kemiskinan Malaysia agak rendah bersamaan dengan RM980 bagi setiap isi rumah itu yang diterjemahkan menjadi kadar kemiskinan sebanyak 0.4 peratus.

Menurut Alston kadar kemiskinan di Malaysia sepatutnya hampir 15 peratus.

“Kadar 0.4 peratus tidak menunjukkan realiti di peringkat akar umbi. Kita boleh mempersoalkan sama ada kadar sebenar adalah 12 atau 18 peratus, tetapi kadar itu sangat tinggi.

“Walaupun tidak dapat dinafikan Malaysia mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, namun dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi atau hanya wujud dalam kelompok kecil di kawasan luar bandar adalah tidak tepat,” kata pelapor khas PBB itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda