Azmin tak kebal dari tindakan tapi selalu beri sebab – Anwar


shadow

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata timbalannya Mohamed Azmin Ali ‘tidak kebal’ daripada tindakan disiplin selepas sekali lagi gagal menghadirkan diri pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu hari ini.

Bagaimanapun katanya beliau menyerahkan kepada lembaga disiplin parti untuk menyiasat perkara itu.

“Setakat ini belum perlu apa-apa tindakan terhadapnya, (namun) beliau tidak kebal daripada tindakan. Tetapi beliau selalu beri sebab kenapa tidak hadir mesyuarat.

“Memang ada dalam peraturan parti kalau tidak hadir mesyuarat tiga kali berturut-turut tanpa sebab, gugur jawatannya. Kadang kala orang cuba beri sebab, jadi Lembaga Disiplin kena siasat sebab itu betul atau tidak,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Anwar, semua pimpinan parti dikehendaki menghadiri mesyuarat dan gesaan itu sudah mencukupi. 

“Esok kita ada mesyuarat pimpinan tertinggi parti, mesyuarat bulanan dan selang seminggu, mesyuarat Biro Politik. Jadi, semua pimpinan diminta hadir,” katanya.

Terdahulu, Azmin dan beberapa pemimpin PKR yang dilihat memihak kepadanya sekali lagi tidak hadir pada mesyuarat parti itu yang dipengerusikan Anwar hari ini.

Ketikdakhadiran mereka pada beberapa mesyuarat parti itu sebelum ini dikaitkan dengan pergesaran dalaman, melibatkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Mengulas dakwaan wujud dua kem dalam PKR, Anwar menafikannya dan mengatakan ia hanyalah persepsi media semata-mata.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda