Bekas pekerja Tamil Nesan demo tuntut pampasan


shadow

Kira-kira 30 bekas pekerja Tamil Nesan hari ini mengadakan demonstrasi di Wisma E&C, Damansara di Kuala Lumpur bagi menyatakan kekecewaan terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang didakwa tidak melayan isu pampasan dan tunggakan gaji mereka sejak syarikat akhbar itu ditutup Feb lalu.

Memetik isu yang dihadapi kakitangan Utusan Malaysia yang tertunggak gaji, bekas ketua editor Tamil Nesan B Padmanabhan berkata mereka juga berdepan masalah sama dari segi kewangan susulan penutupan akhbar harian berbahasa Tamil yang berusia hampir 100 tahun itu

“Kami bukan nak cari simpati dengan mengaitkan masalah Utusan Malaysia dengan Tamil Nesan.

“Namun, isunya lebih kurang sama sahaja. Seperti mereka kami pun tidak dibayar gaji dan pampasan sewajarnya. Kami pun ada masalah kewangan dan tanggungan keluarga. Tapi, sedihnya menteri (Kulasegaran) sangat prihatin dengan Utusan tetapi kami tidak dilayan,” katanya.

Jelas Padmanabhan, kementerian tidak mengambil sebarang tindakan berhubung isu tunggakan gaji dan pampasan sebanyak RM1.36 juta yang dituntut mereka meskipun telah menyerahkan memorandum sebelum ini.

“Apa salah kalau jumpa kami? Jangan memberi perhatian kepada isu-isu yang hanya membawa keuntungan politik sahaja,” katanya sambil menambah bahawa wakilnya turut menyertai piket bersama pekerja Utusanbaru-baru ini.

Pada 17 Julai lalu, seramai 40 bekas kakitangan akhbar Tamil Nesanmembuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Mereka mendakwa majikan mereka tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) sejak 2016.

Mereka turut mendakwa bahawa gaji sebulan bagi bulan Mac turut tidak dibayar.

Tamil Nesan merupakan akhbar Tamil milik keluarga bekas presiden MIC S Samy Vellu. Anak bekas menteri itu, S Vell Paari merupakan pengarah tunggal syarikat pemilik akbar berkenaan ketika ini.

Terdahulu, wakil bekas kakitangan Tamil Nesan, SM Sunther memaklumkan bahawa pihaknya memberikan masa seminggu kepada majikan agar berjumpa dengan pekerja.

“Sudah lapan bulan. Majikan masih tak nak jumpa kami. Kami beri mereka seminggu untuk berjumpa dengan kami. Kalau tidak kami akan datang balik ke sini lagi,” katanya.

Turut hadir demonstrasi hari ini Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan. Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil majikan.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda