Bekas pembantu tadbir didakwa pecah amanah biasiswa pelajar sekolah RM2.4j


shadow

Bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 146 pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM2.4 juta sejak dua tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ismail, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan hampir sejam oleh dua jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Mohd Hanafi, didakwa sebagai individu yang mempunyai penguasaan ke atas suatu harta telah melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri ini berjumlah RM2.404 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Unit Kewangan, Tapem, Bangunan Kota Cemerlang, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya di Melaka, antara 23 Januari 2017 dan 21 Disember 2018 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan Mohd Hanafi dikenakan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa serta empat adiknya yang masih bersekolah.

Hakim Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 Oktober untuk sebutan semula kes.

Selain Irwan Shah, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Emirul Sarifudin, Ahmad Hafiz A. Bakar dan Kenneth Kassa.

– Bernama

Tinggalkan komen anda