Berdepan penjara miliki wang curi


shadow

DUA wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan memiliki wang curi, tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Salina Mohd Sauradi, 54, dan Fairuz Mazidah Selamat, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, Salina didakwa menerima harta curi iaitu wang RM6,000 milik Tuan Zalmawati Tuan Talib, 42, yang dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.20 petang 21 Julai 2016 di kaunter bank CIMB Kuala Terengganu.

Fairuz Mazidah pula didakwa menerima harta curi iaitu wang RM2,500 milik Nur Izzati Nawang, 25, yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di mesin deposit tunai (CDM) Maybank di sebuah pasar raya, kira-kira jam 9 malam pada 30 September 2016.

Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh dari Johor Bahru didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Abdul Hayyi kemudian menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam selain membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,800 dan RM3,000 dengan seorang penjamin.

-myMetro

Tinggalkan komen anda