BNC mohon maaf komen Facebook tertera GIF anjing


shadow

Bernama News Channel (BNC) memohon maaf secara terbuka berhubung isu komen pada hantaran Facebooknya yang tertera komen animasi ‘GIF’ anjing.

Dalam satu kenyataan, pentadbir laman Facebook BNC berkata kejadian itu dipercayai akibat akaun Facebook mereka telah digodam.

“Pihak Bernama News Channel (BNC) ingin memaklumkan bahawa pihak kami amat kesal dengan isu hantaran dalam Facebook BNC yang telah menaikkan kemarahan ramai pihak.

“Untuk pengetahuan semua, setelah disiasat terutamanya terhadap petugas BNC yang namanya tertera di ruangan komen hantaran tersebut mendapati petugas kami tidak terlibat dengan perbuatan itu.

“Kami percaya akaun kami telah digodam,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, BNC menerima kecaman netizen apabila komen animasi GIF anjing menjilat diletakkan pada komen hantaran permohonan maaf pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik di laman Facebook agensi berita nasional itu.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati komen itu telah dipadamkan.

Susulan itu laman Facebook BNC ‘diserang’ oleh netizen dengan GIF anjing dan pelbagai komen menghentam mereka.

BNC berkata, kejadian menggodam akaun media sosial termasuk web portalnya pernah berlaku beberapa minggu lepas.

“Malah ada yang menyalahgunakan nama dan logo BNC atau Bernama untuk menyebarkan berita palsu,” katanya.

Justeru BNC berharap netizen tidak mudah terpengaruh terhadap perbuatan sedemikian.

“Malah Bernama satu-satunya agensi berita negara ini tidak akan terjebak dengan perbuatan terkutuk itu.

“Di sini pihak kami ingin memohon maaf atas perbuatan yang menyinggung perasaan netizen,” kata pentadbir laman Facebook BNC.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda