Cheq Din memang terbaik!


shadow

‘CHARITY Taxi’ adalah matlamat Shabuddin Mat kerana semangat kesukarelawannya tidak kenal erti persaraan.

Lelaki berusia 60 tahun yang aktif dalam aktiviti sukarela ketika berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan kini menjadi ‘pemandu kebajikan’.

Shabuddin menjadikan keretanya sebagai ‘Charity Taxi’ bagi memberi kemudahan kepada golongan memerlukan pengangkutan untuk ulang alik ke klinik tanpa sebarang bayaran.

Beliau dan kereta Proton Preve berwarna biru cair bukanlah asing bagi orang ramai yang sering mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Butterworth.

Jika dahulunya, Shabuddin yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir Kewangan bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang di klinik itu kini masih mengikut disiplin sama walaupun sudah bersara sejak awal Julai lalu.

Bezanya, beliau tidak lagi bekerja di klinik, sebaliknya menawarkan perkhidmatan pengangkutan kebajikan untuk pesakit dari jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

“Hari Sabtu dan Ahad lebih kepada on-call, tiada masalah jika pesakit mahu menggunakan perkhidmatan saya pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui di sebuah gerai makan milik rakannya berhampiran klinik itu.

‘Charity Taxi’ menjadi lembaran baharu bagi kehidupan Shabuddin yang lebih mesra disapa sebagai Cheq Din sejak seminggu selepas persaraannya.

Perkhidmatannya meliputi kawasan sekitar Butterworth seperti Penang Central, Bagan Ajam, Perai, Mak Mandin, Seberang Jaya dan Telok Ayer Tawar.

Berbual dengan beliau, ternyata bertugas di Klinik Kesihatan bukan sekadar satu pekerjaan malah beliau sangat prihatin terhadap kesejahteraan orang ramai. Setiap tutur katanya pasti menyentuh keperluan dan kebajikan masyarakat.

Jadi tidak hairanlah jika minatnya dalam aktiviti kesukarelawanan – yang kini sudah sebati dalam dirinya – bertitik tolak daripada pekerjaannya di situ.

Shabuddin berkata, idea Charity Taxi timbul menjelang hari persaraan apabila mengingatkan betapa ramainya pesakit tempatan dan warga asing dan pelarian sering merungut mengenai kesukaran mendapatkan khidmat pengangkutan.

“Kebanyakan mereka memberitahu bahawa perkhidmatan teksi, mahupun e-hailing yang mudah diperolehi mengenakan caj melebihi kemampuan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan pesakit yang datang ke klinik terdiri daripada kalangan yang membuat pemeriksaan kesihatan dan mereka bukan orang berada.

Pengalaman berinteraksi dengan pesakit membuatkan Shabuddin berasa menjadi tanggungjawabnya membantu mereka memerlukan.

Beliau yang sudah terbiasa mesra dan sering membantu orang ramai, tentunya ingin membantu sedaya mungkin, justeru lahirlah ‘Charity Taxi.’

“Ada juga penumpang menghulurkan wang selepas menggunakan perkhidmatan, namun saya menjelaskan kepada mereka bahawa aktiviti kebajikan seumpama ini sememangnya tidak dikenakan sebarang bayaran kerana ia dilakukan secara sukarela,” katanya.

Berasal dari Bukit Tambun, kira-kira 28 kilometer dari sini, Shabuddin berhijrah ke Butterworth pada 1982 dan mula aktif dalam aktiviti kesukarelawanan pada 1990 di bawah platform Sukarelawan JKM.

Sukarelawan JKM dilancarkan pada 1985 bertujuan untuk menggembleng tenaga sukarelawan bagi membantu kerajaan, khususnya JKM dalam menangani masalah sosial di peringkat akar umbi.

Sukarelawan bertindak sebagai mata dan telinga JKM dalam mengesan kes memerlukan perkhidmatan dan bantuan kebajikan masyarakat, di samping menjadi sukarelawan yang peka serta komited dengan kerja kebajikan masyarakat.

‘Charity Taxi’ diperkenal Shabuddin sedikit sebanyak mengikut model perkhidmatan pengangkutan bagi pesakit bukan kecemasan (NEPTS) atau perkhidmatan pengangkutan pesakit (PTS) seperti terdapat di United Kingdom, Australia, New Zealand dan beberapa negara lain.

Umumnya, NEPT atau PTS menyediakan perkhidmatan penting bagi pesakit yang memerlukan pengangkutan ke atau dari tempat kemudahan perubatan dan untuk golongan yang dari aspek kesihatan tidak membolehkannya menggunakan kemudahan pengangkutan awam.

“Konsep ini membolehkan saya memberi perkhidmatan sukarela kepada pesakit bukan kecemasan termasuklah golongan pelarian dan warga asing,” katanya yang berhasrat akan terus membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan dan misi kemanusiaan.

Kegigihan Shabuddin dalam kerja kebajikan bukan sahaja dapat dilihat pada perkhidmatan mengambil dan menghantar penumpang semata-mata, malah sebelum bersara, beliau mengambil inisiatif membina ‘anjung menunggu’ di belakang klinik untuk kegunaan orang ramai.

Ditanya mengenai penerimaan anggota keluarga mengenai ‘Charity Taxi’, bapa kepada dua anak memberitahu isteri dan anak memberi sokongan sepenuhnya.

Walaupun baharu sahaja memperkenalkan perkhidmatan itu, Shabuddin bersyukur kerana ada pihak yang prihatin tampil menyumbangkan kerusi roda bagi memudahkan pesakit menggunakan perkhidmatannya.

“Memang terharu kerana ada yang sudi menghulurkan sumbangan semata-mata ingin meringankan beban pesakit yang kurang berkemampuan. Ini juga adalah salah satu cabang sedekah patut kita semai kepada masyarakat,” katanya.

Shabuddin berkata, sambutan pesakit yang mahu menggunakan perkhidmatan sangat menggalakkan dan berharap mendapat perhatian pelbagai pihak untuk melakukan perkara sama demi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, seorang pesakit, Zawiyah Babjan, 73, mengakui sangat lega dengan adanya perkhidmatan ‘Charity Taxi’.

Beliau perlu menemani ibunya berusia hampir 100 tahun dan adik lelaki berusia 72 tahun yang memegang kad orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dua kali seminggu.

“Memang sukar untuk mendapatkan teksi termasuklah terpaksa menunggu untuk jangka masa yang lama. Tak sampai hati saya tengok ibu yang dah uzur dan adik pula OKU menunggu lama untuk mendapatkan teksi.

“Teksi ini banyak membantu, syukur sangat,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda