Cungkil bakat seni kanak-kanak


shadow

SERAMAI 120 kanak-kanak negara ASEAN bakal mempertaruhkan bakat masing-masing dalam program bertaraf antarabangsa Asia’s Kids Star pada 5 Oktober depan.

Majlis prapelancaran program sempena meraikan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia dan China itu disempurnakan adinda Sultan Johor, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah Sultan Iskandar di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut kenyataan penganjur, NQ Cultural Commercial Sdn Bhd, program berkenaan akan mengetengahkan bakat kanak-kanak dengan pelbagai cabang seni serta budaya warisan negara melalui pertandingan tarian, nyanyian, lukisan, pertunjukan fesyen, permainan muzik tradisional serta seni kraftangan.

“Pertandingan peringkat saringan diadakan bermula 25 Ogos ini bagi mencungkil serta memilih bakat tempatan dalam kalangan kanak-kanak yang akan mewakili Malaysia pada peringkat akhir Asia’s Kids Star.

“Ia terbuka kepada semua kanak-kanak berumur 3-16 tahun tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama,” kata kenyataan itu.

Program itu diilhamkan dalam usaha melestarikan kebudayaan, kesenian dan mensejahterakan adat resam dalam kalangan kanak-kanak masa kini.

NQ Cultural berkata, rombongan peserta luar akan diperkenalkan dengan adat budaya seni negara ini menerusi program lawatan ke Pusat Kraftangan Negara, Balai Seni Lukis Negara dan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Kenyataan itu menyebut, mereka akan turut berpeluang merasai suasana unik di luar bandar melalui pelbagai aktiviti disediakan di Semenyih Eco Resort.

“Program ini dapat menyemarakkan serta menerapkan pembudayaan dalam kalangan kanak-kanak ke arah penyatuan, perpaduan dan membina modal insan tanpa sempadan umur, agama serta bangsa,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda