DBP, Pena masih tak yakin penjelasan KBS


shadow

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik penjelasan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung Hari Sukan Negara, namun tetap berpendapat semua program di bawah kendalian mereka perlu menggunakan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, DBP berharap KBS menjunjung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/67 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Hari Sukan Negara (HSN) kekal, kita ucap terima kasih tapi pelbagai program lain bawah tu pun patut guna bahasa kebangsaan.

“Ini kerana nama program oleh kementerian itu merupakan satu urusan rasmi kerajaan.

“Dalam undang-undang Perlembagaan Persekutuan apa saja perkara rasmi wajar gunakan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, KBS menimbulkan kontroversi berhubung penggunaan nama bahasa Inggeris untuk program Malaysia Sports Challenge (MySC).

Antara yang membantah keputusan tersebut adalah DBP dan Pena yang menganggap KBS tidak mendahulukan bahasa kebangsaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim ketika ditanya media sebelum ini juga mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris bagi MySC dan mengatakan ia bukan tembok penghalang kepada penyertaan lebih ramai masyarakat.

Bagaimanapun, KBS dalam kenyataannya hari ini berkata, MySC merupakan inisiatif baru yang diperkenalkan bawah Bulan Sukan Negara, selain HSN masih akan dijalankan seperti dijadualkan.

Menurut Abang Sallehuddin, KBS harus memahami dan menyokong bahasa kebangsaan agar tidak menjadi contoh buruk pada pihak lain untuk melanggar ketetapan dalam perlembagaan.

“DBP khuatir pada masa akan datang orang sudah tak hirau pada perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menganggap perubahan kenyataan dikeluarkan KBS berhubung penggunaan bahasa Inggeris untuk programnya menimbulkan keraguan.

“Sebelum ini dinyatakan MySC sebagai pengganti HSN,” katanya.

Menurut beliau, sukan bukan sahaja untuk membangunkan kekuatan fizikal tetapi perlu membangunkan rohani, iaitu semangat nasionalisme yang berteraskan satu nilai sepunya, iaitu bahasa Melayu.

Justeru, kata Mohamad Saleeh, selepas lebih 60 tahun merdeka tidak mungkin dan tidak wajar rakyat Malaysia masih tidak tahu menghormati bahasa kebangsaannya.

“Jika penggunaan bahasa Inggeris ini diteruskan nescaya akan berterusanlah kedudukan bahasa Melayu direndahkan kedudukannya.

“Negara pula akan berdepan dengan kecelaruan tanpa noktah,” katanya.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda