DBP pun tak setuju KBS guna Malaysia Sports Challenge


shadow

Alasan penganjuran program di luar negara dianggap bukanlah hujah yang boleh digunakan untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan bahasa Inggeris untuk menjenamakan Hari Sukan Negara menjadi Malaysia Sports Challenge (MySC).

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan hari ini berkata, jika KBS perlu mengadakan program di luar negara, bahasa Melayu masih boleh digunakan bersama bahasa Inggeris.

“DBP tidak bersetuju dengan keputusan KBS untuk menukarkan nama Hari Sukan Negara kepada MySC.

“Sekiranya program dan aktiviti diadakan di peringkat antarabangsa, DBP mencadangkan agar nama program dibuat secara dwibahasa iaitu mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan,” katanya.

Semalam, Sim mengumumkan nama Hari Sukan Negara ditukar kepada MySC bertujuan memperluaskan capaian program yang merupakan inisiatif terbaru KBS untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Sim juga berkata, penggunaan nama tersebut diubah kepada bahasa Inggeris agar mampu meningkatkan prestij program bukan saja dalam tetapi di luar negara.

Bagaimanapun, Sim menafikan tindakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai merendahkan martabat bahasa Melayu.


Baca Persatuan penulis selar acara sukan negara guna nama Inggeris


Menurut DBP, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

Katanya, rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa digunakan dalam semua, meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Justeru, bagi DBP, penjenamaan semula KBS itu tidak selari dengan hasrat kerajaan meluaskan penggunaan bahasa Melayu.

“DBP menyarankan semua kementerian dan agensi kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara serta wahana komunikasi dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda