Dulu hafal lirik, sekarang hafaz al-Quran


shadow

“DIA cepat mengingat sesuatu dan saya kagum dengan kebolehannya menghafal surah serta hadis walaupun masih kecil,” kata Sufia Wahidah Mohamad Solpian, 28.

Sufia memberi reaksi mengenai kebolehan anak sulungnya, Wan Adriana Arissa Wan Mohd Nor Ariza , 4, menghafal surah dan hadis nasihat dengan lancar.

Bercerita lanjut, Sufia yang menetap di Sibu, Sarawak, berkata perkembangan positif Wan Adriana dapat dilihat sejak dihantar ke tadika Islam untuk mendapat pendidikan awal Januari lalu.

“Sebelum dihantar ke tadika, Wan Adriana atau mesra dipanggil Nana lebih suka menyanyi dan cepat mengingati melodi serta lirik lagu yang didengari.

“Namun, dia kini lebih gemar membaca surah dan hadis serta perubahan itu dapat dilihat dalam tempoh singkat iaitu selepas lapan bulan saya menghantarnya ke tadika.

“Menurut gurunya, Nana antara murid yang cepat belajar dan terbukti apabila sudah menghafal sembilan daripada 20 hadis terdapat di dalam silibus pelajaran selain surah Tiga Qul, al-Fatihah, ayat Kursi dan 1,000 Dinar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambah Sufia, dia juga tidak sangka rakaman video anaknya membaca hadis dimuat naik di Twitter, baru-baru ini tular sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

“Video itu dirakam secara spontan oleh anak saudara saya, Nurul Hanisah Mohd Kamaruddin, 22, Jumaat lalu, untuk simpanan peribadinya dan dimuat naik di Twitter sekadar untuk berkongsi kebolehan Nana.

“Tidak lama selepas dimuat naik, ramai memberi maklum balas dan Alhamdulillah, rata-ratanya memberi komen positif.

“Diharap, perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada mereka yang menonton,” katanya yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandaran Sibu, Sarawak.

Sementara itu, suaminya, Wan Mohd Nor Ariza Wan Bakar, 29, turut gembira dan tidak sangka Nana dapat menghafal surah dan hadis dalam tempoh singkat.

“Saya dan isteri bercadang menghantar Nana ke tadika tahun depan tetapi mengubah fikiran dengan mendaftar masuk ke tadika lebih awal iaitu pada Januari lalu kerana melihat kesungguhannya untuk belajar.

“Alhamdulillah, dia dapat menyesuaikan diri dan setiap kali pulang ke rumah, Nana akan membaca dan mengulangi apa dipelajarinya di tadika termasuk hadis seperti mana dilihat dalam video berkenaan.

“Terima kasih kepada guru yang mendidik anak saya dan berdoa semoga dia (Wan Adriana) menjadi anak solehah, pintar serta membanggakan keluarga,” katanya.

Berdasarkan semakan Harian Metro di akaun Twitter Nurul Hanisah, video Wan Adriana menghafal hadis meraih lebih 331,000 tontonan, 31,500 tanda suka dan 30,500 ulang ciap.

-myMetro

Tinggalkan komen anda