Eden monang motosikal ni ha..


shadow

“TAK sia-sia saya hadir majlis ini apabila mendapat hadiah pertama motosikal bernilai RM7,000,” kata Fatimah Hussain, 50, yang membawa pulang motosikal Honda Dash 125 selepas memenangi cabutan cukai taksiran 2018, Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Suri rumah menetap di Taman Desa Jati, itu antara 50 individu memenangi pelbagai hadiah pada majlis cabutan berkenaan berlangsung di Dewan MPN, Nilai, hari ini.

Fatimah berkata, dia tidak menyangka dapat memenangi hadiah utama dan amat gembira kerana tidak pernah memenangi hadiah sebesar itu sebelum ini.

“Ini pertama kali saya memenangi hadiah begitu berharga. Pada awalnya, saya hampir kecewa apabila nama saya tidak diumumkan sebagai penerima hadiah selepas ramai kalangan mereka yang hadir sudah menerima hadiah masing-masing.

“Bagaimanapun, debaran akhirnya lenyap pada penghujung majlis apabila pengacara mengumumkan nama saya pemenang utama,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah berkenaan yang disampaikan Setiausaha MPN, Marhizah Abdul Razak, mewakili Yang Dipertua MPN. Datuk Zazali Salehudin.

Ibu kepada tiga anak berusia 23 hingga 29 tahun tidak bercadang menjual motosikal itu, sebaliknya mahu ahli keluarganya menggunakannya.

Dia memuji langkah MPN menganjurkan program cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada orang ramai kerana hanya sebilangan kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbuat demikian.

“Program sebegini wajar diteruskan pada masa depan kerana ia baik dan mendapat sokongan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Marhizah berkata, pihaknya memperuntukkan RM30,000 setiap tahun bagi menyediakan hadiah dalam program yang memasuki tahun keenam.

Beliau berkata, program bertujuan menggalakkan penduduk daerah itu membayar cukai taksiran yang dikenakan sebanyak dua kali dalam setahun.

Katanya, pada peringkat awal, seramai 2,685 individu pembayar cukai terpilih dalam senarai pemenang cabutan, namun hanya 50 yang tersenarai di peringkat akhir

“Mereka yang terpilih mempunyai hartanah di daerah ini dan perlu melunaskan cukai taksiran berkenaan pada tempoh ditetapkan,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda