Enakmen tukar agama: Amirudin disaran beri taklimat pada Majlis Presiden PH


shadow

PKR menggesa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pindaan enakmen yang akan membuka jalan untuk penukaran agama sepihak di negeri itu.

Biro Politik PKR berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat hari ini yang dipengerusikan presiden Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Amirudin.

“Mesyuarat hari ini turut dihadiri Amirudin yang telah memberi taklimat berkenaan enakmen tukar agama di Selangor.

“Biro Politik telah menyarankan agar beliau memberikan taklimat penuh serta mengadakan perbincangan lebih mendalam berkenaan isu ini sewaktu Majlis Presiden PH Jumaat ini,” kata biro itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan, RUU pindaan itu pada mulanya dijangka dibentang di DUN Selangor pada sidang yang lalu (dijadual antara 29 Julai hingga 9 Ogos) tetapi tidak berlaku selepas Speaker Ng Suee Lim memendekkan sidang kepada dua hari saja.

Ng bagaimanapun menafikan langkahnya itu bagi menghalang pembentangan RUU tersebut, tetapi disebabkan penyertaan adun yang rendah dalam perbahasan.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada “ibu atau bapa”.

Hasrat itu mendapat bantahan adun dari DAP dan sejumlah pemimpin PH. Pada 8 Ogos lalu, empat exco bukan Islam kerajaan Selangor menghadapSultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dipercayai berkenaan perkara itu.

Pada 12 Ogos lalu, Amirudin berkata kegagalan pembentangan itu memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mengkaji dan berbincang dengan lebih teliti dengan semua pihak terlibat.

Dalam pada itu, Biro Politik PKR berkata Amirudin turut memberi taklimat berkenaan perkembangan terkini Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) kerajaan Selangor seperti program air percuma dan Skim Mesra Usia Emas.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda