Enjin carian mesra syariah


shadow

KEPESATAN teknologi merubah keseluruhan landskap kehidupan manusia termasuk penggunaan Internet hingga hampir semua maklumat boleh diakses dengan mudah di hujung jari.

Meskipun banyak manfaat diperoleh daripadanya, kita tidak mampu menidakkan kesan negatif dengan penggunaan tanpa kawalan dan sekatan sewajarnya.

SalamWeb membuka era baharu di Internet dengan memberikan pilihan kepada semua umat Islam dan sesiapa saja membuat pilihan menjalani kehidupan digital mereka yang mematuhi nilai dan etika Islam.

Dikatakan enjin carian Internet mesra syariah pertama di negara ini, siapa sangka teraju utamanya adalah wanita dedikasi yang berpengalaman lebih 26 tahun dalam dunia korporat, malah portfolionya dalam industri bukan semba­rangan.

Tidak hairanlah, wanita berusia 53 tahun ini menjadi pilihan untuk menerajui syarikat berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu itu seterusnya mencipta revolusi Internet ‘halal’ seumpamanya di dunia sekali gus membina ekosistem digital beretika di Malaysia.

Di sebalik kelembutannya, terpancar ketegasan dalam butir bicara Hasni Zarina Mohamed Khan yang sebelum ini memegang portfolio penting antaranya Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) selain Pengarah Eksekutif dan CEO Touch N’ Go (TNG) Malaysia.

Hasni turut tersenarai antara 25 wanita pertama diiktiraf oleh NAM Institute for the Empowerment of Women Malaysia di bawah Agenda 30 peratus Pengarah Wanita.

Kini, wanita ini komited membangunkan SalamWeb Technologies MY Sdn Bhd bersama pasukannya bagi menjayakan aspirasi syarikat untuk memberikan kandungan yang tidak keterlaluan dan menghindarkan pengguna daripada kandungan eksplisit atau lucah yang secara tidak langsung mampu menjadi pengguna lebih beretika dalam penggunaan Internet.

“Ia adalah alat yang dibangunkan berdasarkan prinsip dan fatwa Islam terbaik yang dikaji semula dan dikeluarkan oleh ulama dan organisasi terkenal.

BERSAMA kakitangan dalam usaha melonjakkan prestasi syarikat.

“Meskipun kami masih jauh untuk bersaing dengan gergasi Internet seperti Google, Yahoo dan Facebook, tetapi apa yang kita tahu, jika pengguna kecewa dengan persekitaran Internet sedia ada, SalamWeb boleh menjadi pilihan kerana mempunyai etika terbaik dan mungkin penyemak imbas Internet paling relevan di dunia.

“Kami percaya ia dapat memudahkan pengguna Internet menerokai, berhubung dan menyumbang melalui platform dalam talian yang bukan hanya selamat, tetapi juga dioptimumkan mengikut cara hidup mereka,” katanya.

Menurutnya, awal tahun ini, Salam Web melancarkan versi pelayar Internet dengan rupa baharu dan ciri unik yang meliputi semua platform utama Android, Windows, iOS dan MacOS.

Menariknya, ia memiliki sistem penapis kandungan dipanggil SalamProtect yang dibangunkan dengan teknologi seperti pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI), menyekat kandungan yang berbahaya dan memastikan privasi dipertingkatkan semasa melayari perkara penting, misalnya semasa menjalankan urus niaga dalam talian yang memerlukan maklumat peribadi.

Selain itu katanya, platform sedekah iaitu SalamSadaqah disediakan agar pengalaman Internet pelayar menjadikannya satu amalan kebajikan dengan setiap carian web atau laporan kandungan yang dibuat SalamWeb memadankannya dengan jumlah sumbangan.

“Kebanyakan kita melayari Internet setiap hari tanpa menimbangkan bagaimana boleh menggunakan alat ini bagi tujuan kebajikan.

“Sebagai produk digital patuh syariah, produk kami adalah untuk membantu umat Islam dan pengguna melayari Internet selari dengan adab Muslim dan tingkah laku moral sejagat.

“SalamSadaqah adalah alat unik yang memberi peluang kepada semua pengguna untuk bersedekah secara percuma dan membantu orang lain. Semakin ramai pengguna mendaftar dan menggunakan pelayar ini, semakin banyak sumbangan untuk menjayakan projek membangunkan masyarakat Islam.

“Kini kami bekerjasama dengan Global Sadaqah dan menyokong projek infrastruktur di seluruh dunia. Dalam masa terdekat, kami akan meningkatkan projek Sadaqah dan akan memberi pilihan kepada pengguna untuk mencadangkan projek yang mereka anggap penting dan memilih antara beberapa projek untuk diberikan sumbangan,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik University of Central England dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Aston University, Birmingham, England.

Sebagai satu daripada negara yang diiktiraf tinggi dalam industri halal, nenek kepada seorang cucu ini percaya bahawa usaha merebut peluang yang tersedia perlu dipercepatkan, malah terus menyokong kepentingan hidup digital yang selamat dan beretika.

Katanya, dia dan pasukannya juga sedang mengetengahkan segmen halal berbeza yang masih belum diterokai dan kini membuka ruang untuk mewujudkan pilihan yang lebih besar untuk industri ini.

-myMetro

Tinggalkan komen anda